UMNO Akan Tuntut Dana Politik Yang Disita PDRM – Azalina
KUALA LUMPUR, 11 Julai – UMNO akan membuat tuntutan dana politik atau wang berjumlah lebih kurang RM116.7 juta milikan parti yang disita oleh pihak Polis Di-Raja Malaysia (PDRM).
Ketua Unit Undang-Undang Ibu Pejabat UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pasukan peguam Ibu Pejabat UMNO sedang meneliti segala isu perundangan berkaitan hal tersebut.
“Ibu Pejabat UMNO telah melantik Tetuan Scivetti & Associates bersama sepasukan peguam dimana Datuk Hariharan Tara Singh sebagai peguam utama dalam untuk mewakili UMNO dalam membuat tuntutan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Jelasnya, pasukan peguam Ibu Pejabat UMNO juga sedang mempertimbangkan antara lain, prosedur atau kaedah dan cadangan tindakan undang-undang yang boleh diambil oleh UMNO terhadap pihak berkaitan dalam menuntut dana politik atau wang tersebut.
“Pasukan Peguam Ibu Pejabat UMNO juga akan membuat permohonan yang sewajarnya kepada agensi penguatkuasaan yang terlibat khususnya PDRM untuk mendapatkan dan membekalkan maklumat yang berkaitan untuk tindakan pihak kami selanjutnya.”
Pada masa yang sama, katanya, pasukan peguam Ibu Pejabat UMNO berharap supaya tiada mana-mana pihak membuat apa-apa spekulasi yang tidak sewajarnya terhadap perkara ini. – MediaUMNO