Penyusutan Menjunam Rizab Antarabangsa Bank Negara Amat Membimbangkan

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Unit Komunikasi Strategi Ibu Pejabat UMNO, melahirkan rasa bimbang dengan penyusutan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) yang menjunam daripada AS$110 bilion pada April kepada AS$104.7 bilion setakat 29 Jun 2018 semenjak kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pada 9 Mei lalu.

Menurut kenyataan media itu, penyusutan sebanyak US$5.3 billion atau RM22.2 bilion ini ditambah pula dengan penarikan dana asing kira-kira RM8 bilion di Bursa Saham pada minggu lalu adalah satu perkara yang perlu dipandang serius oleh kerajaan hari ini.

“Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dengan tegas berkata keyakinan pelabur asing akan kembali dengan ketelusan kerajaan dalam kes 1MDB dan penyusunan semula GLC, iaitu memecat pegawai yang ada dan menggantikan mereka dengan yang baharu.

“Bagaimana, Guan Eng sebenarnya bukan seorang yang realistik apatah lagi seorang ahli ekonomi berpengalaman kerana ternyata beliau gagal mengenal pasti mereka yang selama ini membantu membangunkan ekonomi negara dan meyakinkan pelabur.

“Guan Eng hanya lebih berminat memecat lantikan Kerajaan Barisan Nasional dan menggantikan mereka dengan kononnya  ‘pakar’ yang tidak pernah terbabit dalam merangka dasar ekonomi negara.

“UMNO khuatir dan amat bimbang, apakah dasar ekonomi kerajaan baharu sebenarnya? Adakah dengan memperkenalkan lebih banyak legasi untuk golongan kaya dan mendabik dada kononnya mereka lebih baik daripada orang lain?,” ujar Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO dalam kenyataan tersebut.

Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO juga merasakan rasa kesal kerana dalam pada gagal menunaikan segala janji manifesto PRU14nya, kerajaan sekarang berdolak-dalik dengan cuba memesongkan perhatian rakyat kepada tuduhan terhadap bekas Perdana Menteri, di samping mewujudkan tabung khas yang kononnya untuk menampung ‘kebankrapan’ negara.

“Rejim Tun Dr Mahathir Mohamad sebenarnya banyak berbohong dan berdolak-dalik sejak memerintah. Rakyat lebih berminat untuk tahu bagaimana mereka menangani kejatuhan Ringgit daripada RM3.90 kepada RM4.03 bagi setiap Dolar Amerika.

“Bahkan, kerajaan baharu ini tidak mahu menerima laporan agensi penarafan antarabangsa seperti Moody’s dan menempelak pula kenyataan Bank Dunia bahawa Malaysia ialah ‘a success story’ di bawah pentadbiran BN.

“Legasi bagi rakyat Malaysia yang sebenar ialah melalui sentuhan pemimpin yang dapat memanfaatkan rakyat miskin, misalnya Felda tinggalan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan Klinik 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib Razak.

“Ura-ura kerajaan untuk mengekalkan Klinik 1Malaysia (walaupun menukar namanya) sebenarnya adalah pengiktirafan terhadap legasi Najib dan kerajaannya,” tegas kenyataan tersebut.

Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO seterus meminta Tun Dr. Mahathir dan Kabinet serta rakan sekatilnya, Lim Kit Siang, berhentilah berdolak-dalik dan asyik mencari silap orang lain dan lebih baik memfokuskan usaha kepada mengotakan janji untuk melupuskan tol dan PTPTN atau janji 10 dalam masa 100 hari itu.

“Kekuatan asas ekonomi negara adalah kukuh ketika mereka mengambil alih kuasa, dan janganlah mereka cerita bohong dan palsu mengenainya, hanya kerana ingin menutup kelemahan sendiri.

“Sedarlah, rakyat semakin menyedari tipu muslihat ini. Pelabur asing juga sudah semakin tidak yakin dan  gusar dengan dasar ekonomi kerajaan. Atau apakah memang menjadi sikap Kerajaan PH lebih suka mereka-reka cerita bagi menutup kelemahan mereka atau mereka sudah terlebih janji sehingga sudah tidak terdaya untuk melaksanakannya ?,”jelas.-MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.