PRK Sg Kandis : Bertanding Atau Tidak?… Asyraf, KJ dan Budiman

UMNO baru selesai melalui proses pemilihan dan perubahan pucuk pimpinan di seluruh negara. Di peringkat pusat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diberi kepercayaan memimpin parti dengan dibantu oleh timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Dalam keadaan parti UMNO dan BN masih dilanda pelbagai cabaran besar, negara bakal menyaksikan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang pertama penggal ini. Malah mungkin PRK paling cepat pernah dilaksanakan selepas pilihan raya umum.

Pemergian Allahyarham Suhaimi Shafiee, Adun Selangor kawasan Sungai Kandis – wujud kekosongan kerusi – memberi UMNO satu dilema baharu yang memerlukan pemikiran mendalam Ahmad Zahid dan barisan kepimpinan baharunya.

Pertama sama ada perlu atau tidak untuk UMNO bertanding kali ini atau memberi laluan kepada Pas dan pembangkang lain sahaja menentang PKR.

Persoalan ini perlu diperhalusi kerana UMNO bukan saja sedang berhadapan proses pemulihan, malah juga tidak lagi mempunyai sumber kewangan setelah akaunnya dibekukan oleh SPRM.

Jika UMNO memilih tidak bertanding kali ini ia mungkin mengurangkan serangan terhadap parti dan memberi ruang kepada kepimpinan yang ada menyusun semula kekuatan parti. Maka apa pun keputusan PRK tersebut tidak memberi banyak kesan kepada UMNO.

Namun UMNO mungkin membuat keputusan untuk memasuki gelanggang atas semangat demokrasi dan menunjukkan mereka tidak mudah patah semangat dan hilang pedoman atas kekalahan lalu. Langkah ini akan memberi peluang kepada pucuk pimpinan parti menguji sebarang kelemahan dan kekurangan dalam berhadapan pilihan raya sebagai pembangkang.

Jika UMNO mahu menyertai PRK kali ini ia harus juga membuat keputusan sama ada mahu bertanding atas logo BN atau UMNO.

Fanatik UMNO sentiasa mahukan mereka bertanding atas logo UMNO. Namun rasionalis dalam UMNO harus melihat bahawa ini peluang membuktikan UMNO masih sebuah parti yang berpijak dalam realiti dan tidak mudah gelabah dengan kekalahan lalu.

Logo dan simbol kerjasama BN tidaklah seburuk mana. Kita hanya baru kalah sekali berbanding perikatan lawan. Pucuk pimpinan UMNO harus menunjukkan teladan yang baik mendapat pandangan komponen BN yang masih ada sebelum memutuskan wadah mana yang akan digunakan UMNO atau BN.

PRK Sungai Kandis juga memberi dilema besar kepada UMNO. Siapa calon akan diletakkan? Slogan anak tempatan, calon tempatan sudah tidak relevan bagi negeri Selangor.

Menteri Besar Selangor hari ini bukan lagi anak Selangor. Ahli Parlimen Kota Raja juga bukan anak Selangor. Malah Allahyarham Suhaimi Shafie juga bukan anak tempatan.

UMNO bertanding sebagai pembangkang harus menggunakan formula yang sudah teruji dan mampu memberi harapan untuk menang. Dalam PRK, pembangkang yang tidak mempunyai jentera kuat harus meletakkan calon-calon yang popular di peringkat nasional.

Nama seperti Ketua Pemuda UMNO yang baharu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki harus dalam pertimbangan atas. Soal beliau pernah kalah bukan alasan lagi kerana Mohamad Sabu calon pindah-randah setiap kali pilihan raya menang dengan majoriti 70,000 dalam Parlimen Kota Raja.

Asyraf sebagai Ketua Pemuda UMNO harus mengambil peluang menjadi panglima baharu. Kalah atau menang soal kedua.

Selain Asyraf, nama Khairy Jamaluddin harus dipertimbangkan. Beliau dikatakan popular dalam kalangan anak muda bandar dan media sosial. Khairy juga popular dalam kalangan UMNO Kota Raja yang telah mencalonkan beliau sebagai calon Presiden UMNO tempoh hari.

Oleh kerana pertarungan ini di kawasan bandar dan pengundi muda, Khairy mempunyai peluang cerah untuk menang atau sekurang-kurangnya memberi cabaran kepada PKR.

Jika anak Selangor juga mahu ditonjolkan, maka nama bekas Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi harus dipertimbangkan. Beliau sudah dikenali sebagai wakil rakyat yang mempunyai kebolehan orator dan penyelidikan yang baik mampu menjadi pembangkang yang kuat di Dewan Undangan Negeri Selangor.

Keputusan pilihan raya umum lalu menjadikan PKR terlalu dominan. DUN Selangor memerlukan pembangkang yang kuat mengimbangi pentadbiran Pakatan Harapan hari ini.

Pengundi di Sungai Kandis mempunyai peluang untuk menjadikan ia satu realiti. Namun UMNO harus memberi mereka nama yang meyakinkan bahawa calon mereka mampu menjadi “ejen pemeriksa” yang berkualiti bagi mengimbangi kerajaan negeri.

Ab Jalil Becker

*Penulis ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar)

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.