Program MYHAUS Bakal Dilancar Ogos

PUTRAJAYA, 17 Jun – Projek MYHaus akan dilancarkan Ogos ini yang dibiayai melalui dana wakaf bagi kos pembinaan rumah atau membaik pulih rumah kumpulan sasar terpilih, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Komponen projek di bawah MYHaus terbahagi kepada beberapa kategori antaranya membina semula rumah atau bina baru, baik pulih rumah dan membaiki kerosakan rumah. Semuanya (projek) disiapkan dalam tempoh lebih kurang 10 hari sahaja,” katanya.

Bercakap dalam sidang media di sini hari ini sempena 100 hari beliau di JPM, Zulkifli berkata program pendidikan kerohanian dan kesedaran sivik akan turut ditekankan kepada isi rumah kumpulan sasar agar pembangunan seimbang dapat dicapai di bawah program MYHaus.

Mengenai program yang telah dilaksanakan sepanjang 100 hari pentadbirannya, Zulkifli berkata sebanyak RM196.3 juta sumbangan dalam pelbagai bentuk telah diagihkan kepada 10 kelompok sasar yang memerlukan bantuan di seluruh negara di bawah program #MusaadahCOVID19, setakat Mei lepas.

Program Pembiayaan Mikro iTekad, iaitu program kewangan sosial bagi memudahkan pembiayaan bagi usahawan mikro B40 dan asnaf yang kehilangan punca pendapatan dan perniagaan terjejas akibat wabak COVID-19, telah menyalurkan dana berjumlah RM5.3 juta kepada penerima terpilih, katanya.

Zulkifli berkata beliau bercadang untuk menempatkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabatnya bagi tujuan pemantauan urus tadbir yang lebih efektif.

“Saya ingin menzahirkan komitmen penuh JPM (Hal Ehwal Agama) dan seluruh agensi di bawahnya dalam mengutamakan integriti dan akauntabiliti dalam urus tadbir Islam,” kata Ikon Integriti dan Antirasuah Negara 2019 itu.

Ditanya apakah cabaran yang dihadapinya sepanjang tempoh 100 hari ini, Zulkifli berkata: “Cabaran tak besar sangat. Yang paling penting mengurus masa supaya semua gerak kerja dan program yang dirancang adalah efisien dan memberi impak tinggi kepada ummah.” – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.