Berhadapan Dengan Suasana Politik Terlalu Dinamik, UMNO Perlu Kukuhkan Posisi – Dr Zambry

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata UMNO perlu memperkukuhkan posisi kekuatannya bagi berhadapan dengan suasana politik yang terlalu dinamik sekarang ini.

Ini katanya berikutan banyak perubahan-perubahan yang mendadak dalam politik negara pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Perubahan-perubahan yang tidak kita jangkakan bagaimana pertukaran sebuah kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) berlaku hanya dalam tempoh dua tahun dan satu kejutan datang secara tiba-tiba yang memerlukan kita memperkukuhkan kedudukan kita.

“Saya yakin UMNO sebagai sebuah parti yang mempunyai struktur yang kuat dari bawah hingga ke atas, dan struktur inilah yang perlu kita memperkemaskan dan perkukuhkan dari masa ke semasa.

“Ia tidak boleh jadi struktur yang kaku tetapi perlu lakukan anjakan-anjakan yang penting dengan melihat persekitaran politik yang sedang hadapi sekarang ini,” jelasnya.

Dr Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor berkata demikian di dalam Wawancara Khas sempena Hari UMNO ke-74 tahun bersama Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, Isnin malam.

Tambahnya juga, UMNO adalah sebuah parti yang dinamik kerana dari dahulu lagi pemimpin-pemimpinnya sering membicarakan masa hadapan parti, anak bangsa serta negara.

“Kita mempunyai pemimpin-pemimpin yang menggerakkan minda untuk memikirkan langkah-langkah ke hadapan. Begitu juga membincangkan agenda-agenda perubahan dan masa depan UMNO dan sebagainya.

“Maknanya UMNO itu bukan sebuah parti yang statik walaupun ada yang mengatakan UMNO ini tidak mahu berubahkah dan UMNO menganggap apa yang disebutkan kepada UMNO itu adalah satu cabaran (bagi saya) yang objektif selagi kita mahu melakukan perubahan dengan menerima teguran-teguran dan termasuklah keadaan hari ini dengan suasana politik yang baharu,” katanya lagi.

Berhubung dengan memorandum persefahaman (MoU) antara parti-parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), Dr Zambry berpandangan ia bagi memastikan kerajaan dapat berfungsi dengan baik, selaras dengan keputusan parti sebelum ini memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit