Sultan Ibrahim Titah Adun Johor Ganding Bahu Bantu Rakyat Depani Covid-19

ISKANDAR PUTERI, 14 Mei – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini menitahkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor supaya berganding bahu untuk membantu rakyat yang sedang dalam kesusahan berhadapan dengan wabak COVID-19.

Titah baginda lagi, sekarang bukan masa untuk para ADUN bertegang urat dan bertikam lidah bagi mencari pengaruh politik atau kepentingan peribadi kerana tindakan sebegitu akan melahirkan satu virus yang lebih berbahaya iaitu virus perpecahan.

“Virus ini nampaknya telah pun menular dalam kalangan pemimpin politik apabila berlakunya pergolakan dan perebutan kuasa yang merungsingkan rakyat serta menggugat kestabilan politik dan pembangunan ekonomi negara.

“Mereka yang dijangkiti virus ini akan lupa diri dan tidak akan peduli tentang kepentingan rakyat asalkan mereka dapat apa yang dikejar untuk kepentingan diri sendiri,” titah Sultan Ibrahim ketika merasmikan pembukaan penggal ketiga persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Menurut baginda, virus perpecahan itu boleh merebak melalui saluran media sosial yang bebas dengan dibantu oleh ejen media dan lasykar siber yang menjadi batu api membangkitkan isu sensasi untuk menambah api kebencian dalam kalangan pemimpin politik dengan rakyat.

Sehubungan itu, Sultan Ibrahim berharap virus perpecahan tersebut dapat dibendung bagi mengekalkan keharmonian dan perpaduan hidup rakyat yang telah dibina sekian lama.

Sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat juga, Sultan Ibrahim turut berharap para ADUN menunjukkan teladan yang baik dengan menjaga adab dan tatatertib di dalam DUN Johor supaya menjadi contoh kepada negeri itu.
“Pada ketika ini, kita masih lagi berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diwartakan kerajaan persekutuan bagi menangani penularan wabak COVID-19.

“Namun begitu, persidangan DUN hari ini terpaksa saya panggil bagi memenuhi syarat yang termaktub dalam Fasal 23(1) Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor yang mana tidak boleh dibiarkan Dewan ini (DUN Johor) tidak mengadakan mesyuaratnya selama enam bulan dari tarikh mesyuarat yang terakhir.

“Oleh yang demikian, mesyuarat ini haruslah dibuat dengan seberapa singkat yang boleh dan kemudiannya ditangguhkan ke satu tarikh yang lain apabila keadaan telah kembali pulih sepenuhnya,” titah baginda.

Sultan Ibrahim turut mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para petugas barisan hadapan dan semua pihak yang terlibat dalam menangani wabak COVID-19 serta kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang menghulurkan bantuan sewajarnya ketika rakyat berdepan cabaran yang tidak diduga.

“Sesungguhnya mencegah adalah lebih baik daripada mengubati, oleh itu, saya menyeru kepada semua rakyat supaya sama-sama bertanggungjawab menjaga kesihatan diri masing-masing dengan mengamalkan norma hidup yang baharu seperti amalkan penjarakan sosial serta memakai penutup hidung dan mulut di tempat awam,” titah baginda.

Menurut Sultan Ibrahim, baginda percaya dengan semangat kerjasama dan sikap prihatin antara satu sama lain, semua pihak akan dapat mengharungi dugaan yang mencabar ini.

“Marilah kita berdoa ke hadrat Allah SWT semoga wabak yang melanda negara akan segera hilang dan semua rakyat dikurniakan kesihatan yang baik untuk menjalani hidup yang sejahtera,” titah baginda. — BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit