Sidang Dewan Rakyat 18 Mei Ini Hanya Bagi Urusan Titah Diraja

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Sidang Dewan Rakyat pada Isnin ini hanya bagi urusan Titah Diraja Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof berkata beliau telah menerima surat pemakluman ditandatangani Perdana Menteri sebagai Ketua Majlis bahawa pihak kerajaan memutuskan Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 yang akan berlangsung selama sehari itu, dipinda dengan urusan mesyuarat berkenaan.

Katanya, perkara itu adalah disebabkan penularan wabak COVID-19 dalam negara yang masih belum reda sepenuhnya.

Menurut beliau Titah Diraja itu bermula pada pukul 10 pagi dengan Dewan Rakyat dan Dewan Negara bersidang serentak.

“Tiada sidang selepas Titah Diraja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pindaan itu adalah selaras dengan Peraturan 11 (2) dan 15 (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Mohamad Ariff berkata Setiausaha Dewan Rakyat Riduan Rahmat akan mengeluarkan notis baru majlis persidangan Dewan Rakyat kepada semua ahli dewan. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit