Hari UMNO Ke-74: Cabaran, Semangat Dan Norma Baharu Bersandarkan Kepentingan Rakyat

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Sambutan Hari UMNO ke 74 kali ini dalam lengkungan norma baharu, di bawah cabaran-cabaran yang mungkin tidak pernah terfikir akibat pandemik COVID-19, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia, Khaidhirah Dato Abu Zahar.

Ujarnya, UMNO sedang melalui fasa yang baik melalui Perikatan Nasional (PN) yang membentuk kerajaan hanya bersandarkan kepentingan rakyat namun dalam menghadapi krisis COVID-19, PN dilihat sebagai pasukan yang berjaya mengurus dengan baik, termasuk hal ehwal kebajikan rakyat, keselamatan dan pelan pemulihan yang teratur.

“Sandaran PN tidak menggunakan retorik dan propaganda untuk bekerja kepada rakyat, dan UMNO terus fokus untuk berkhidmat berdasarkan panji utama – demi agama, bangsa dan negara,” katanya dalam kenyataan sempena Hari UMNO semalam.

Jelasnya, UMNO telah melalui perjalanan yang amat panjang dalam sejarahnya yang tidak pernah apologetik tentang perjuangan Melayu walaupun badai cuba meruntuhkan bahtera tetapi UMNO kekal teguh selama 74 tahun dan menjadikan UMNO parti paling lama berkhidmat dan berpegang teguh kepada tali perjuangan rakyat.

“Biarpun usai 74 tahun, UMNO harus cakna dengan pemodenan dan aras pemikiran baharu, terutamanya generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara. UMNO harus bijak menekankan keperluan-keperluan semasa dan transformasi yang mendasari kepelbagaian umur dan latar belakang sosial.

“Perjuangan ‘idealist’ perlu diserasikan dengan nilai-nilai ‘progresif’ melalui bidang teknologi, falsafah dan gaya hidup rakyat yakni hal-hal sedemikian menjadi gambaran perubahan hidup masa kini.

“Masa tidak menunggu UMNO untuk penerimaan segenap lapisan masyarakat, tetapi anjakan paradigm itu sangat penting untuk memastikan UMNO terus berdegup sebagai nadi yang disayangi rakyat jelata disamping menjadi satu-satunya parti tonggak kejayaan Islam dan orang Melayu di negara ini.”

Ujarnya, anak-anak muda sentiasa menunggu keterbukaan dalam UMNO kerana menghormati perjuangan UMNO yang sebegitu lama mencurah bakti dan pilihan raya seterusnya adalah medan pertembungan besar pengundi muda yang mampu mengubah lanskap besar kepada suasana politik negara.

“Kita tolak politik ektremis radikal, perkauman, dan politik-politik yang ‘wardlord’ kerana berdirinya parti ini adalah kerana rakyat yang menyokong di dalamnya, untuk inspirasi dan berjuang dengannya. Rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat perlu diterapkan menjadi sebahagian besar gerak kerja parti, tidak kira sebagai penggerak akar umbi mahupun kepimpinan tertinggi.

“Kita sayangkan parti UMNO dan semangat cintakan parti ini tidak akan lebur walau apa pun cabaran dan dugaan mendatang, namun sokongan rakyat dan penerimaan rakyat adalah inipati paling penting melebihi segalanya. Kerna hidupnya parti ini adalah kerana rakyat, tegapnya parti ini kerana rakyat, gagahnya parti hingga 74 tahun lamanya adalah kerana rakyat.

“UMNO adalah jiwaku, darah dagingku, mindaku, dan kekal menjadi semangatku. Kepada Allah ku berserah diri. Salam perjuangan dan Selamat Hari UMNO ke-74,” katanya lagi.

Semalam, sempena ulang tahun UMNO, sambutan dibuat dengan simbolik melalui upacara menaikkan bendera ‘Sang Saka Bangsa’ yang telah disempurnakan oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dan hanya diiringi oleh setiausaha sayap dan ketua jabatan Ibu Pejabat UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.