UMNO 74 : Iltizam UMNO Negeri Perkukuh Parti Menuju Kejayaan PRU-15

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Hari ini UMNO menyambut ulang tahun ke-74 dalam satu norma baru dek kerana pandemik COVID-19.

Justeru itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah mengadakan sidang video secara langsung bersama semua Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan ia turut disertai oleh tiga wakil kelab UMNO Luar Negara.

Secara keseluruhannya, apa yang ditekankan adalah ilitizam untuk terus memperjuang dan memperkasakan UMNO dan seterusnya memberi satu nafas baru kepada rakyat negara ini.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) menjadi pucuk pimpinan negara, rakyat mula sedar mereka telah tersalah pilih.

Selama 22 bulan di bawah pentadbirann PH, rakyat ternyata sengsara dan Muafakat Nasional yang dibentuk oleh UMNO dan PAS berjaya memberi sinar politik baharu kepada rakyat.

Bagi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, sidang video secara langsung yang dibuat sempena hari UMNO ke-74 ini adalah satu norma baharu dan secara tidak langsung mencatat sejarah dalam kamus politik UMNO.

Jelas beliau, jika ulang tahun UMNO ke-72, disambut dalam suasana penuh kesedihan, ulang tahun ke-73 pula disambut dengan penuh suasana kebangkitan, kali ini ulang tahun ke-74 disambut dengan suasana berlainan apabila UMNO menjadi sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional.

Mengulas mengenai politik UMNO Pahang pula jelas Wan Rosdy, “UMNO Pahang lebih stabil dengan adanya Muafakat Nasional dan bersama dengan MCA dan MIC. Selain itu juga, kita mendapat sokongan dari setiap kepimpinan UMNO di Pahang dan ini terbukti bila kita hadapi pandemik COVID-19, selain daripada jentera kerajaan, jentera parti juga memainkan peranan yang cukup penting di setiap pelusuk negeri Pahang UMNO di mana UMNO menghulurkan pelbagai bantuan.”

Ketika ditanya oleh Presiden berkaitan dengan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang kini kosong kerana kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun baru-baru ini, jelas Wan Rosdy, jika dilihat dari rekod PRU lalu, majoriti yang diperolehi oleh UMNO adalah 4,622 undi.

“Saya fikir tidak ada masalah dan sekiranya Muafakat Nasional berjalan seperti biasa, atas kertas kita bakal perolehi majoriti 15 ribu undi. Speaker telah menulis kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dan sekarang kita tunggu maklumat lanjut,” jelas beliau.

Dalam sidang video yang sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad pula berkata, Perak kali ini menyambut ulang tahun UMNO dengan lebih baik apabila kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri.

“Dalam musim COVID-19 ini, bila kita telah menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri, ADUN kita dapat peruntukan dan ini memudahkan mereka turun padang menghulurkan bantuan.

“Saya harap, UMNO Perak akan meneruskan momentum ini dengan lebih baik dan saya juga berharap Muafakat Nasional akan terus diperkasakan kerana inilah matlamat asal kita untuk membolehkan UMNO dan PAS menuju PRU-15 dengan suasana lebih baik.

“Semoga ulang tahun UMNO ke-74 ini, UMNO akan lebih bersemangat dan kekuatan kita akan kembali seperti asal,” ujar beliau.

Manakala bagi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berkata, walaupun UMNO di Kelantan sudah lama tidak menjadi kerajaan negeri tapi semangat UMNO negeri itu tidak pernah luntur dan pudar.

“UMNO Kelantan sentiasa positif dalam perjuangan dan tahun ini walaupun dalam serba kekurangan tambahan pula bila dilanda VOCID-19, di peringkat bahagian tetap ada usaha yang telah dibuat oleh ketua bahagian seperti mengadakan solat hajat.

“Selain itu, sepanjang tempoh 74 tahun ini, kita jangan lupa apa yang kita ada pada hari ini adalah sesuatu yang telah diusahakan oleh pemimpin terdahulu. Bukan mendabik dada tetapi kemajuan dan kemakmuran yang ada pada hari ini sebenarnya adalah hasil usaha dan ciptaan UMNO.

“Inilah yang perlu dihayati bersama terutama anak-anak khususnya UMNO luar negara dan semua rakyat. Yang jadi menteri sekarang inipun walaupun bukan lagi ahli UMNO tetapi mereka belajar daripada universiti UMNO… datangnya dari UMNO. Kalau tidak kerana UMNO, mereka tidak sematang sekarang untuk memimpin negara,” ujar beliau.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said pula menjelaskan bahawa UMNO Terengganu sentiasa penuh semangat untuk berjuang meneruskan perjuangan UMNO sebagai pejuang bangsa.

“UMNO Terenggaanu akan terus memperjuangkan parti keramat ini kerana terbukti sejak dulu dan kini, UMNO masih menjadi warisan kepimpinan negara dulu, kini dan masa depan. Kerana itu kita lihat, hari ini kerajaan tanpa UMNO mereka tidak pergi ke mana. Sebab itu sesiapa yang mengkhianti UMNO seolah-olah mengkhianati agama, bangsa dan negara.

“Ingatlah, UMNO ini parti keramat, lahir dari linangan air mata orang Melayu. Sebab itu hari ini, UMNO telah diterima kembali di mana-mana, UMNO menjadi sebutan dan perjuangannya kepada rakyat jadi ingatan,” luah beliau.

Seterusnya, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom pula berkata, ulang tahun UMNO ke-74 kali ini benar-benar penuh bermakna.

“Kita tidak pernah melalui COVID-19, jadi kali ini jadi sejarah, bulan Ramadhan dicampur dengan pandemik COVID-19, kita menyambut ulang tahun UMNO secara norma baru. Selain itu, kita juga dapat lihat selepas negara dipimpin oleh Perikatan Nasional, pentadbiran negara mula menjadi stabil.

“Ini menjadi satu pengajaran kepada rakyat Malaysia yang telah melalui zaman permintahan PH. Maka, kita kena perkukuhkan kekuatan kita bersama untuk menjadi sebuah kerajaan yang kukuh dan seterusnya mencapai kejayaan pada PRU-15 nanti.

“Kuncinya ialah perpaduan dikalangan pimpinan kita dan inilah yang kita dambakan .Kita tidak boleh lagi berpecah. UMNO ke-74 ini diharapkan akan dapat pertautkan kembali ukhwah sesama kita,” ujar beliau. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit