UMNO Sabah Masih Relevan Terus Berjuang Untuk Semua – Rahman

 

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan melihat UMNO Sabah masih lagi relevan walaupun pada hari ini UMNO negeri berkenaan tidak mempunyai ramai wakil rakyat.

Menurut beliau sebelum ini UMNO negeri itu turut menyumbang kepada UMNO pusat dengan memenangi tujuh kerusi Parlimen selain memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis sebelum ini.

“Saya mengambil kesempatan ini bagi pihak UMNO Sabah untuk mengucapkan Selamat hari Ulang tahun ke-74 kepada UMNO yang telah banyak berjasa kepada negara.

“Dalam konteks negeri Sabah UMNO masih lag relevan walaupun kita tidak lagi mempunyai ramai wakil rakyat sekarang ini tetapi kita telah buktikan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 kita menyumbang tujuh kerusi Parlimen untuk UMNO Malaysia dan walaupun ada rakan-rakan yang telah berhijrah tetapi UMNO telah menunjukkan kekuatannya dengan memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis.

“29 tahun yang lalu UMNO telah membuat keputusan untuk melebarkan sayapnya ke negeri Sabah. Kenapa UMNO membuat satu keputusan yang besar dan drastik. Pertamanya adalah untuk menyatupadukan Bumiputera terutamanya Bumiputera Islam dan keduanya untuk memastikan bahawa Sabah berada di dalam persada politik nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena ulangtahun UMNO ke-74 yang disambut 11 Mei setiap tahun.

Tambah Rahman apabila UMNO membuat
keputusan itu bermakna Sabah boleh dilihat menjadi sebuah negeri yang penting dan strategik dalam kanvas politik negara Malaysia ini.

“Saya berpandangan bahawa mana-mana parti nasional yang ingin dominan dalam persada politik tanah air mesti dan mampu untuk menguasai politik negeri Sabah. UMNO Sabah dengan adanya autonomi akan terus menjadi kuasa politik yang kuat di Sabah, insya Allah,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit