UMNO Cepat Sesuaikan Diri Hadapi Cabaran Yang Cukup Besar Dan Sukar

KUALA LUMPUR, 8 May – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi melahirkan penghargaan dan menyanjung tinggi ahli-ahli UMNO dan juga pendukung-pendukung yang masih setia bersama parti berkenaan.

Ini jelas terbukti katanya apabila UMNO berjaya mengharungi cabaran-cabaran yang cukup mendebarkan malah kini parti tersebut terus mara kehadapan dan hala tujunya semakin jelas bagi seluruh masyarakat di negara ini.

“Alhamdulillah…walaupun UMNO menghadapi cabaran yang cukup besar dan sukar tetapi apa yang kita lihat sekarang ini UMNO terus mara kehadapan sebagai sebuah perjuangan bukan saja untuk orang Melayu dan Islam tetapi juga untuk rakyat Malaysia seluruhnya.

“Kita bersyukur, UMNO cepat menyesuaikan diri dengan cabaran ini dan kembali mendapat keyakinan rakyat dan ini telah dibuktikan atas kejayaan UMNO dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan sebelum ini dan paling memuncak ialah kemenangan besar di Tanjung Piai.

“Kita harap dengan kejayaan ini UMNO akan dapat mengharungi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 sebagai sebuah parti yang terus memperjuangkan kepentingan rakyat, Insya Allah. Selamat menyambut hari kelahiran UMNO pada 11 Mei ini,” katanya.

Sementara itu bagi Datuk Norliza Abdul Rahim yang juga ahli MKT, selama 74 tahun UMNO telah melalui saat-saat duka dan manis bersama.

Katanya, UMNO pernah menjadi kerajaan begitu lama, kemudian pernah menjadi pembangkang dan syukur Alhamdulillah … sekarang UMNO menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Setiap yang berlaku ini mempunyai hikmah masing-masing tetapi UMNO sebagai sebuah parti keramat dan kita harus sama-sama menjaga parti ini.

“Kini UMNO bersama dengan parti-parti yang lain seperti Pas dan Bersatu serta setia bersama dengan rakan-rakan lama yang lain. Kita berharap agar dapat terus bekerjasama dan menjadikan satu ikatan yang kuat,” ujarnya.

Tambah Norliza lagi, melakukan sesuatu perkara kearah kebaikan mesti mempunyai cabaran yang sangat-sangat hebat.

“Oleh itu, sebagai ahli UMNO kita harus bersatu hati, menjaaga perpaduan, solidariti bersama-sama mengharungi saat-saat yang indah dan getir. Yang penting adalah demi agama,bangsa dan negara kita, Insya Allah.

Norliza seterusnya mengucapkan selamat ulang tahun UMNO yang ke-74 yang akan disambut pada 11 Mei ini dan mengajak ahli-ahli UMNO, pemimpin-pemimpin UMNO dan pendukung lain agar terus bersama-sama menjaga solidariti parti. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit