COVID-19: Pencapaian Dan Kejayaan Kerajaan PN Bukti Suara Nadi Rakyat Didengari

ALOR SETAR, 30 April – Ketua Pemuda UMNO Negeri Kedah Mohd Fadzil Zolkipli berkata, pencapaian dan kejayaan yang ditunjukkan oleh kerajaan baru Perikatan Nasional (PN) dalam menangani wabak pendamik COVID-19 adalah satu indikator jelas yang dapat menunjukkan betapa komited dan efisien kerajaan hari ini dalam menguruskan kebajikan serta keperluan rakyat.

Jelas beliau, sudah pasti semua pihak sangat menghargai inisiatif yang diambil pihak kerajaan dan berterima kasih atas segala usaha yang dilakukan secara kolektif ini.

“Terbaru, tindakan kerajaan membenarkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang masih berada di kampus untuk pulang ke kampung halaman adalah sesuatu yang amat dihargai. Tindakan kerajaan ini adalah satu usaha yang cukup besar apabila proses penghantaran pelajar-pelajar IPT seluruh Malaysia itu melibatkan kira-kira 53,000 orang pelajar.

“Apa yang lebih bersyukur apabila dapat melihat wajah ceria para pelajar IPT yang selamat tiba di kampung halaman masing-masing sejak beberapa hari lalu. Tahniah diucapkan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Selain kejayaan tersebut tambah Fadzil, kejayaan Wisma Putra yang dilaporkan kejayaan membawa pulang lebih 6,700 rakyat Malaysia yang terkandas di 51 buah negara, setakat awal April juga adalah sesuatu yang amat dibanggakan.

“Tidak lupa juga kejayaan hebat KKM dan juga ‘frontliners’ apabila mencatat kadar kesembuhan sebanyak 68.9% iaitu dalam kalangan yang tertinggi di dunia dengan sejumlah 4,032 kes positif berjaya dipulihkan.

“Ini semua adalah antara kejayaan yang menunjukkan gerak nadi rakyat didengari dan kepentingan rakyat didahulukan,” ujar beliau. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit