PKP Fasa 3: Rakyat Mesti Ambil Serius, Lebih Berdisiplin

KUALA LUMPUR, 16 APRIL – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Fairuz Edzuan Jamaludin berkata pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menuntut rakyat perlu terus kuat dan berdisiplin untuk mengharunginya.

Menurutnya, fasa sebelum ini yang telah ditempuh selama empat minggu sewajarnya menjadikan masyarakat lebih mematuhinya.

“Namun persoalannya… apakah selama empat minggu ini, seluruh rakyat Malaysia mengambil serius dan berdisiplin dalam mematuhi arahan dan garis panduan PKP ini?

“Sebahagian besar masih lagi berdisiplin, tetapi ada juga segelintir yang degil, keras kepala dan kurang bijak tidak menurut arahan PKP. Kesudahannya apa? Menyusahkan diri sendiri dan semua pihak.

“Semakin masuk fasa ketiga, semakin ramai yang ingkar. Sejak 13 April, jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP adalah seramai 9,090 individu dan jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan 4,036. Kompaun RM1,000 ini seolah-olah tidak ditakuti oleh individu-individu degil ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Justeru, tambah Fairuz lagi, rakyat Malaysia wajib terus berdisiplin, patuh arahan dan jangan ambil remeh setiap arahan kerajaan.

“Ingat… PKP fasa ketiga ini adalah penentu kepada kejayaan untuk mendatarkan lengkung pandemik.

“Setiap pesalah akan dihadapkan ke mahkahmah dan hakim yang akan tentukan tempoh anda dipenjara. Ini sudah tentu memberi rekod buruk kepada individu terlibat, tetapi apa lagi pilihan yang ada? Perlu sentiasa ingat bahawa, Malaysia masih berlembut dan tidak sekejam Filipina yang menembak sahaja siapa yang ingkar,” tegasnya.

Begitu juga ulasnya, kadang-kala ketegasan penguatkuasa diperlukan terutamanya dalam keadaan genting sebegini.

“Kepada pihak berkuasa, jangan beri muka dan berkompromi dengan individu-individu degil ini. Heret mereka ke mahkamah, kerana golongan degil ini adalah ancaman besar kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Kelembutan yang diberikan kerajaan dibalasnya dengan tuba. Teruslah berjuang. Kita mesti menang,” ujarnya.- UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.