‘Ekonomi Terhenti Secara Mendadak’, Beri Impak Besar Kepada Sektor Utama Negara – Saarani
IPOH, 8 April – Fenomena ‘ekonomi terhenti secara mendadak’ akibat pandemik COVID-19 memberi impak yang cukup besar kepada sektor utama negara, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad.
Ujar Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri itu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terpaksa dilakukan bagi mengekang penularan tersebut mengakibatkan gangguan terhadap arus perdagangan, rantaian bekalan, pengeluaran, pelancongan dan sektor penting yang lain.
“Dalam konteks negeri Perak, perlu diingatkan bahawa tiga sektor penting yang selama ini memacu enjin ekonomi negeri iaitu sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian turut berdepan impak dan kejutan.
“Saya percaya, perkara ini akan menjadi antara agenda yang akan diberi perhatian oleh barisan kepimpinan kerajaan negeri selain tumpuan khusus bagi membantu golongan rakyat yang terkesan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan turut merujuk kepada data terkini Bank Negara Malaysia yang mengunjurkan ekonomi negara berada pada kadar -2.0 hingga 0.5 peratus tahun ini, yang memberi indikasi bahawa negara akan memasuki fasa kemelesetan yang jauh lebih hebat berbanding krisis ekonomi 1998 dan 2009, tambahan pula diburukkan lagi dengan kejatuhan harga komoditi termasuk minyak mentah.
“Dalam situasi yang cukup mendesak ini, menjadi harapan rakyat agar barisan pentadbiran kerajaan negeri bersifat lebih responsif dan inklusif dalam bertindak.
“Kurangkanlah politiking dan tumpukanlah sepenuh perhatian terhadap tugas sebagai anggota kerajaan dalam mengurus negeri,” serunya lagi.
Seterusnya Saarani juga menyeru rakyat sama-sama terus berdoa agar negara sentiasa dilindungi dan keadaan akan kembali pulih.
Mengulas mengenai portfolio bagi barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang baharu sahaja diumumkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Saarani berkata perlantikan tersebut datang bersama tanggungjawab yang cukup berat dan ia mesti dipikul dengan kesungguhan serta komitmen jitu tatkala negara sedang bergelut dengan penularan wabak COVID-19.
Ahmad Faizal selaku ADUN Chenderiang bertanggungjawab terhadap portfolio Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi, GLC dan Integrasi Nasional serta memangku portfolio Kesihatan.
Selain Saarani, turut dilantik ADUN Semanggol, Razman Zakaria (Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil); ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi (Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan – memangku portfolio Komunikasi dan Multimedia).
ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya (Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor – memangku portfolio Belia dan Sukan); ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri (Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Infrastruktur, Tenaga dan Air).
ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin pula akan menyandang portfolio Agama Islam dan Penerangan (memangku portfolio Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau) dan ADUN Kampung Gajah, Datuk Dr Norashikin Wan Noordin bertanggungjawab bagi portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat. – UMNO ONLINE