Peruntukan Terbesar Pakej COVID-19 Sabah Tidak Tepati Sasaran – Rahman

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan berpandangan peruntukan terbesar dalam pakej Bantuan COVID-19 kerajaan Sabah iaitu RM200 juta untuk projek infrastruktur tidak menepati sasaran yang mustahak ketika ini.

Bagi beliau, apa yang utama hari ini membantu rakyat negeri itu yang tidak mampu membeli barangan makanan dan yang hilang pendapatan.

“Kerajaan negeri Sabah baru sahaja mengumumkan pakej bantuan COVID-19. Terima kasih. Malangnya saya rasa peruntukan terbesar dalam pakej iaitu RM200 juta untuk projek infrastruktur tidak menepati sasaran yang mustahak ketika ini.

“Memanglah memperuntukkan RM200 juta untuk projek boleh mengerakkan ekonomi dan ada kesan ‘spillover effect’ kepada ekonomi. Tetapi bukan itu yang menjadi keutamaan. Ini bukan masanya. Itu boleh dilakukan selepas krisis COVID-19 ini telah reda,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi catatan di facebook beliau, di sini, hari ini.

Rahman yang juga Pemangku Ketua UMNO Tuaran turut membayangkan apa cabaran dan masalah dihadapi oleh pakej RM200 juta tersebut.

“Antaranya projek kerajaan perlu proses tender, pemilihan, pemantauan. Berapa lama proses itu. Seterusnya projek pasti berjalan beberapa bulan. Selepas itu proses ‘claim’ pula akan memakan masa. Berapa lama duit boleh sampai ke tangan kontraktor dan rangkaian bisnesnya,” tambahnya.

Tambahnya lagi siapakah yang menganalisis tender, meluluskan dan memantau projek berkenaan.

“Jabatan kerajaan banyak yang kena ‘lock down’. Hanya segelintir kontraktor yang akan dapat manfaat. Beratus ribu orang yang memerlukan bantuan tidak dapat. Sudah tentu projek fizikal memakan masa dan kitaran wang daripada projek ini terhad,” ujarnya.

Ujar beliau sekiranya bantuan tunai kepada orang susah, kitaran wang dalam ekonomi tempatan akan lebih cepat dan ramai yang merasa bila kitaran wang itu bermula dan kedai runcit, kedai makan, kedai serbaneka dan macam macam lagi akan mendapat manfaat.

“Saya harap kerajaan negeri dapat menukar tujuan RM200 juta itu dari projek infra kepada bantuan kemanusian,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.