Elok Kita Terus Terang: Tindakan Ekonomi Belum Mencukupi; Pertimbang Subsidi Gaji – Shahril

BUKAN niat saya asyik ulang perkara sama atau terlalu dramatis.

Tetapi elok kita berterus terang dalam situasi luar biasa ini: sejujurnya saya benar-benar risau bahawa ruang tindakan ekonomi kita berdepan situasi Covid-19, semakin tipis.

Kalau lambat, kita mungkin sesal kelak apabila ruang pilihan menjadi lebih kecil.

1) 11 Mac di Astro Awani saya tekankan keperluan bantuan tunai besar-besaran. 18 Mac saya senaraikan perkara serupa berserta cadangan khusus.

2) Setakat ini, Kerajaan dan pihak swasta memang ada beraksi. Baik Kerajaan-kerajaan negeri, pusat, beberapa syarikat telco, TNB, PTPTN mahupun institusi kewangan sudah ambil beberapa tindakan yang diketahui umum – tak perlu saya ulang di sini. Besar atau kecil, kita iktiraf ada. Alhamdulillah.

3) Tetapi elok kita berterus terang. Tidak cukup untuk bertindak beransur-ansur, sedikit sana sedikit sini, tapi tak selesai masalah asas, gajah di hadapan mata.

4) Kesan ekonomi Covid-19 yang paling serius bagi saya adalah kemungkinan kehilangan pendapatan. Pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji, gaji separuh bulan dan yang lebih kritikal pekerja yang diberhentikan serta merta.

Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi kita tahu ada syarikat-syarikat yang sudah mula mengarahkan pekerja bercuti tanpa gaji untuk separuh bulan seperti sektor penerbangan dan perhotelan.

5) Dengan PKP yang dilaksanakan sehingga 31 Mac ini, lebih banyak sektor akan terkesan di mana mereka wajib duduk di rumah dan menyebabkan syarikat-syarikat di tempat mereka bekerja tidak boleh menjalankan perniagaan dan menjana pendapatan untuk membayar gaji pekerja.

– Elok kita berterus terang, jikapun PKP tamat pada 31 Mac, kesan Covid-19 ini akan berlarutan lama.

– Elok kita berterus terang, ada syarikat yang mungkin akan memberhentikan pekerja-pekerja ini kerana tidak lagi mampu menampung gaji pekerja mereka tanpa pendapatan. Sikit atau banyak, bergantung kepada tindakan sekarang.

– Elok kita berterus terang, akan ada syarikat yang gulung tikar akibat Covid-19 ini. Sikit atau banyak, bergantung kepada tindakan sekarang.

– Elok kita berterus terang, kita di ambang kegawatan ekonomi global. Besar atau kecil kesannya kepada rakyat Malaysia, bergantung kepada pengurusan sekarang.

Jadi, apa yang perlu dibuat? Banyak. Tapi saya nak fokus pada satu hari ini.

————

6) Pada hemat saya, Kerajaan perlu memberi bantuan kepada perniagaan dan syarikat untuk membayar gaji pekerja-pekerja yang terkesan. Tidak kiralah ianya dipanggil subsidi gaji, bantuan tunai atau apa sekalipun, rakyat yang hilang punca pendapatan perlu dibantu.

7) Mungkin bukan 100%, tetapi sebahagian gaji pekerja ditanggung oleh Kerajaan dan selebihnya oleh majikan.

8) Subsidi gaji ini juga boleh dibuat secara bersasar contohnya untuk pekerja peringkat sokongan dengan gaji di bawah RM3,000 sebulan,

Kerajaan tanggung 90% gaji mereka. Untuk kumpulan pertengahan Kerajaan tanggung 70% hingga 80% gaji mereka dan untuk pengurusan tertinggi (top management) mungkin Kerajaan boleh hadkan pemberian subsidi gaji dengan angka mutlak contohnya RM10,000 sahaja (atau lebih rendah).

9) Untuk mengelakkan berlakunya penipuan atau ketirisan, majikan perlu mengemukakan dokumen payroll mereka seperti caruman KWSP, SOCSO, PCB dan sebagainya kepada Kerajaan.

10) Subsidi gaji ini juga hanya akan diberikan kepada syarikat yang tidak memberhentikan pekerja dalam tempoh PKP ini selanjutnya selama tempoh tertentu.

Manfaat daripada subsidi gaji ini adalah:

A. Pekerja-pekerja yang terpaksa duduk di rumah tidak diberhentikan oleh majikan mereka.

B. Pekerja-pekerja ini juga akan terus menerima gaji mereka untuk membeli barangan keperluan dan membayar apa-apa bil.

C. Syarikat dan perniagaan dapat menguruskan aliran tunai (cashflow) mereka untuk terus beroperasi.

D. Kesan negatif pengangguran ke atas ekonomi negara dapat dikurangkan.

E. Setelah krisis Covid-19 reda, pekerja boleh terus bekerja tanpa perlu mencari pekerjaan baru.

11) Berapa kosnya untuk Kerajaan menanggung subsidi gaji kepada pekerja? Mungkin berpuluh billion Ringgit. Tetapi, defisit dan hutang Kerajaan bukan keutamaan. Rakyat, perkerja dan perniagaan yang merupakan tulang belakang ekonomi negara yang patut menjadi keutamaan.

12) Biar saya jelas – ini bukan subsidi selama-lamanya. Kalau terlalu panjang pun, mustahil. Kita doakan agar Covid-19 ini selesai sesegera mungkin.

13) Tetapi poin kenapa perlu subsidi gaji SEKARANG adalah untuk kita selamatkan syarikat-syarikat terutamanya IKS yang merupakan majikan besar ekonomi kita. Syarikat-syarikat ini memang boleh beroperasi dalam situasi biasa tetapi ini situasi luar biasa maka kalau tak dibantu SEKARANG, mampu membawa mudarat.

14) Bayangkan apabila ekonomi beransur pulih nanti, bila pekerja ramai menganggur, banyak syarikat dah tutup, untuk mula dari sifar amat sukar sekali dan kita mampu terjerumus ke kancah kemelesetan yang lebih dalam, lebih panjang. Antara konsep ekonomi yang menyentuh pendekatan ini adalah “intertemporal substitution”, walaupun bukan satu-satunya konsep yang relevan. Boleh Google kepada yang minat.

15) Negara-negara di Eropah seperti Norway, Austria dan Denmark malah UK semalam sudah pun mula melaksanakan polisi ini.

16) Saya harap Kerajaan boleh beri pertimbangan. Kita berada di waktu luar biasa, jadi kita perlukan solusi luar biasa.

P/s saya lampirkan satu video untuk tunjukkan apa yang negara lain dah buat. Apa yang saya cadangkan bukanlah radikal sangat pun. Hanya perlu pembuat dasar keluar dari kotak pemikiran yang ortodoks.

Shahrll Hamdan
Ketua Penerangan UMNO Malaysia
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.