PH Kantoi, Tiada Peruntukan PSP Dan Baucar Buku Dalam Belanjawan 2020!
KUALA LUMPUR, 1 Nov – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak penjelasan segera daripada pihak Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik mengenai status Program Sarapan Percuma (PSP) dan Program Baucar Buku RM250 yang melibatkan harapan rakyat.
Ketuanya, Datuk Dr Asyaraf Wajdi Dusuki membangkitkan hal tersebut berhubung kegagalan Dr Maszlee Malik menjawab soalan lisan yang dibangkitkan oleh YB Ayer Hitam, Datuk Seri Ir Dr. Wee Ka Siong di Parlimen mengenai status Program PSP yang dianggap amat mengejutkan.
“Ia melibatkan harapan rakyat. Cukuplah rakyat ditipu sekali lantaran kegagalan Pakatan Harapan (PH) melaksanakan janji Manifesto PRU14,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya.
Jelasnya, semakan pada Buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2020 B/P. 63 Kementerian Pendidikan mendapati tiada peruntukan khusus dalam Belanjawan 2020 untuk PSP yang dianggarkan mencecah RM1.67 billion sebagaimana yang diumumkan YB Menteri sebelum ini, sebaliknya program Kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu iaitu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) masih menerima peruntukkan berjumlah RM 295,120,000 dibawah Butiran 081200.
“Demikian juga dengan status Program Baucar Buku RM250 seperti yang dijanjikan Dr Maszlee untuk diperkenalkan semula pada tahun 2020, di hadapan mahasiswa di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 4 Mac 2019 lalu.
“Ternyata tiada langsung tercatat peruntukan untuk Program Baucar Buku RM250 dalam Belanjawan 2020,” bidas beliau.
Selaras dengan itu, katanya persoalan yang bermain di fikiran rakyat:
(i) Apakah benar Program Sarapan Percuma dan Program Baucar Buku ini akan bermula 1 Januari 2020 sebagaimana yang dijanjikan kepada rakyat sedangkan tiada peruntukan khusus yang disebut dalam Belanjawan 2020?
(ii) Apakah YB Menteri Pendidikan ada berbincang atau berwhatsapp dengan YB Menteri Kewangan mengenai program-program besar ini sedangkan langsung tidak disebut dalam ucapan mahupun dicatatkan dalam mana-mana bahagian dalam Belanjawan 2020?
(iii) Apakah peruntukan RM295 juta untuk RMT dalam Belanjawan 2020 memberikan isyarat dasar kerajaan BN terdahulu ini lebih berkesan untuk diteruskan berbanding idea PSP YB Menteri?
(iv) Apakah nasib PSP dan Baucar Buku ini akan menjadi seperti janji YB untuk menghapuskan tol Simpang Renggam dan bersedia untuk membayar kembali tuntutan bayaran balik tol oleh pengundi Simpang Renggam? – UMNO ONLINE