Banyak Undang-Undang Untuk Dakwa Penghina Jalur Gemilang

KOTA BHARU 23 Ogos – Sikap kurang ajar setengah pihak yang mempermainkan Jalur Gemilang dengan memasangnya secara terbalik tidak akan berlaku sekiranya kerajaan menguatkuasakan sepenuhnya undang-undang bagi menghukum golongan tersebut.

Pengerusi Kluster Peguam Muda Pergerakan Pemuda UMNO, Nik Saiful Adli Burhan berkata, negara ini mempunyai banyak undang-undang yang mengawal selia peraturan mengenai penggunaan bendera dan lambang negara ini.

Beliau berkata, antaranya Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949.

“Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 memperuntukkan penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM 20,000.00 bagi kesalahan penggunaan bendera Malaysia secara tidak wajar termasuk dengan maksud menghina dan merendahkan status bendera itu sebagai lambang negara.

“Jika undang-undang ini benar-benar dilaksanakan dan menjadi keutamaan penguatkuasa undang-undang, saya percaya sekurang-kurangnya rakyat boleh dididik untuk menghormati lambang negara ini, meskipun kerana takutkan hukuman yang berat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan beberapa pihak yang memasang bendera secara terbalik ketika negara sedang sibuk bersiap untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-62.

Malah sebelum ini, pelbagai pihak termasuk parti komponen kerajaan mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan biadab ahli perniagaan, Tan Sri Lee Kim Yew menghina Jalur Gemilang yang menjadi simbol kedaulatan negara.

Nik Saiful Adli berkata, polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil tindakan terhadap individu dan premis perniagaan yang melakukan provokasi sebegini serta membawa mereka yang ingkar ini ke muka pengadilan sebagai pengajaran kepada rakyat Malaysia yang lain.

“Jangan pula ada lagi alasan selepas ini yang mereka cuma tersilap pasang bendera, semata-mata sebab takut kena masuk jel!.

“Protes terhadap pentadbiran kerajaan mahupun parti politik tertentu bukanlah wajar dilepaskan melalui tindakan menghina lambang negara. Jangan gadaikan patriotisme semata-mata untuk memenuhi nafsu politik kepartian semata-mata,” katanya.

Katanya, sejak akhir-akhir ini kejadian memasang bendera terbalik dan songsang sudah kelihatan menjadi budaya sebahagian golongan yang tidak hormat kepada lambang negara ini.

“Jika 62 tahun dulu rakyat negara ini bangga dengan turunnya Union Jack dan dinaikkan bendera Malaysia, hari ini tanda hormat sebegitu hampir hilang bersama hilangnya jiwa patriotik rakyat Malaysia.

“Tidak sedarkah mereka bahawa jika bukan kerana kemakmuran hasil kemerdekaan negara ini, untuk beli bendera itu pun mereka takkan mampu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.