Serang PH Dengan Fakta, Pikat Anak Muda Menerusi Media Sosial – Ismail Sabri
KEPALA BATAS, 18 Ogos – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata serangan bertali arus menerusi media sosial terhadap Pakatan Harapan (PH) perlu dipertingkatkan sepertimana mereka menyerang kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang menimbulkan persepsi yang tidak betul sehingga terus melekat di pemikiran rakyat.
Menurut beliau hari ini dengan pendaftaran pengundi automatik serta penurunan had umur pengundi kepada 18 tahun, soal berkenaan perlu dititikberatkan dan perlu diambil perhatian serius terutama bagi sayap parti.
“Jumlah pengundi yang bertambah bukanlah jaminan kepada kemenangan parti. Yang penting kita perlu bekerja. Yang penting hari ini kita perlu menguasai media sosial dan saya minta kepada Pemuda dan Puteri kita mesti menguasainya. Orang muda khususnya lebih menjurus ke arah berkenaan.
“Dulunya persepsi negatif yang dibuat oleh pembangkang pada waktu itu terhadap kita dengan pelbagai fitnah dan akhirnya orang percaya bahawa perkara yang dilontarkan itu seolah-olah benar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Kepala Batas, di sini, hari ini.
Turut serta Ketua UMNO Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta barisan pimpinan UMNO setempat, rakan-rakan komponen Barisan Nasional (BN) dan rakan Taa’wun PAS.
Tambah Ismail lagi jika diikutkan dan seandainya berdasarkan perkhidmatan yang telah dilaksanakan oleh BN sebelum ini, ianya cukup baik namun gara-gara persepsi dan fitnah yang berterusan segala yang dilaksanakan itu tenggelam.
“Tidak ada sebab kita kalah kalau rakyat katakan kita tidak melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat. Tetapi kita kalah kepada persepsi dengan isu yang dibangkitkan, persepsi negatif. Dulu mereka fitnah kita.
“Hari ini banyak isu yang timbul dan berlaku. Kita kena serang mereka berterusan dan kita tidak fitnah mereka sebaliknya menceritakan perkara yang sebenar. Kita lontarkan isu yang betul. Saya harap kita gunakan kesempatan kita untuk memperjelaskan kepada rakyat kelemahan kerajaan hari ini,” ujarnya.
Ujarnya lagi serangan pembangkang sebelum ini dilihat berfokus dan perkara itu dapat dilihat setelah isu 1MDB diwar-warkan sejak 2013 sehingga 2018 tidak berhenti-henti, selain serangan berterusan terhadap Datuk Seri Najib dan pasangannya.
“Jadi kita harap serangan berterusan. Serangan hari ini tidak nampak dengan jelas. Serangan mereka berfokus manakala kita tidak berfokus. Dulu mereka serang kita dengan isu 1MDB daripada 2013 sampai 2018 tidak berhenti-henti.
“Kalau kita tidak serang isu banyak mana sekalipun tidak akan memberi apa-apa kesan kepada mereka. Serang habis-habisan sampai rakyat membenci PH supaya tidak boleh terima lagi dan persepsi ini terus melekat pada fikiran rakyat.Kita serang dengan fakta,” tambahnya.
Pada masa yang sama beliau turut mengingatkan sleuruh jentera parti agar sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
“Kita perlu bersedia sepanjang masa khususnya jentera parti pelbagai peringkat. Saya nak tanya adakah UMNO Kepala Batas sudah bersedia jika PRU diadakan secara mengejut. Ini penting jika PRU mengejut diadakan.
“Harap kita semua di peringkat cawangan dan sebagainya mesti menganggap bahawa pilihan raya mungkin akan diadakan seolah-olah esok. Mereka sedang bertelagah sekarang ini,” tegasnya.- UMNO Online