Pemimpin Melayu PH Lemah, Rela Tunduk Dengan Kehendak Dap


BATU KAWAN, 19 Ogos – Kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bertegas dalam isu-isu yang mengganggu-gugat kesucian agama Islam serta menyentuh keharmonian negara ternyata amat meresahkan rakyat.

Demikian kata Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Said dalam satu ceramah perpaduan ummah di Taman Bukit Minyak, pada Sabtu malam.

Ini juga menunjukkan betapa lemahnya pimpinan kerajaan Melayu yang menjadi kerajaan tetapi jelas dikawal oleh Dap, tegasnya.

“Isu-isu yang berlaku pada masyarakat hari ini yang menimbulkan keresahan kita adalah soal betapa lemahnya pimpinan kerajaan Melayu yang ada pada hari ini.

“Tetapi menjadi begitu lemah sekali disebabkan kerana sayang dan kasih kepada kuasa akhirnya mereka terpaksa menjadi kerajaan yang dikawal oleh Dap,” tambahnya.

Bekas guru itu yang mesra dengan panggilan Cikgu Zaidi memberikan contoh betapa lemahnya pemimpin Melayu dalam kerajaan PH yang akhirnya tunduk, terbaharu isu mengenai pengenalan tulisan jawi bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat bagi sekolah vernakular.

“Isu-isu yang bangkit seperti tulisan jawi yang kita rasa sangat memalukan bahawa keputusan akhirnya memang kita kalah. Kerajaan yang dipimpin oleh Melayu Islam itu kalah.

“Sebab apa? Kerana tidak mampu untuk melaksanakan keputusan yang telah dibuat oleh Kabinet, tunduk kepada tekanan persatuan-persatuan Cina akhirnya pelaksanaan (pengenalan) tulisan jawi di sekolah jenis kebangsaan (SJK) ini hanya akan dilaksanakan sekiranya mendapat kebenaran dari Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Tegasnya, menteri-menteri Melayu dalam kerajaan harus bertanggungjawab terhadap keputusan tersebut.

“…begitu juga dengan menteri-menteri Melayu yang ada termasuklah yang mewakili orang-orang Melayu daripada Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, Mat Sabu yang dulunya berjuang habis-habisan ceramah dia tak pernah tak maki orang, hari ini dia lembik bahasa dengan lemah lembut.

“Kita hendaklah menilai dari sudut yang lebih luas, kita jangan tengok dari satu sudut yang sempit. Ini bukan soal perkauman… hari ini dia (Mat Sabu) lembut kerana hendak menjaga hati rakan-rakan Dapnya,” katanya lagi.

Cikgu Zaidi turut melahirkan kekecewaan dan terkesan di atas sikap seorang taikun perniagaan yang bukan sahaja menghina askar tetapi juga mempertikaikan jumlah kakitangan awam di negara ini yang majoritinya berbangsa Melayu.

Justeru itu katanya, tiada apa lagi yang boleh rakyat terutama umat Islam pada hari ini menyandarkan harapan kepada kerajaan PH.

Turut hadir sama memberi ceramah adalah Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Mohd Nor Ahmad, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Abdul Mutalib Maarof, Ketua Dewan Ulama PAS Pulau Pinang, Ustaz Ahmad Tajuddin Abu Bakar dan Yang Dipertua PAS Batu Kawan, Ustaz Zulkhairi Ismail. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit