Hina Sangatkah Jawi Ditentang Begitu Sekali… Menentang Warisan Negara Langkah Bodoh – Zolkafly


SUNGAI SIPUT, 15 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Negeri Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun menempelak pihak yang menentang pengenalan tulisan jawi kerana ia satu langkah yang bodoh.

Tegasnya, itu juga adalah tanda-tanda wujud pihak yang mahu menghapuskan warisan negara.

“Tulisan khat jawi wujud sejak zaman kerajaan Melayu Melaka dan subur walaupun di waktu kolonial. Ia adalah sebahagian daripada sejarah bangsa yang perlu dipastikan kesinambungannya.

“Kenapa harus pengajaran tulisan khat jawi ini dihalang? Adakah mempelajarinya akan menyebabkan orang bukan Islam menjadi Islam, dan bukan Melayu menjadi Melayu?

“Tulisan Jawi wujud sejak zaman berzaman dan ia adalah sebahagian daripada warisan nenek moyang kita. Adakah salah mempelajari seni ini, sedangkan tulisan Mandarin dan Tamil dibenarkan untuk dipelajari? Hina sangatkan seni khat jawi sehingga ia ditentang begitu keras sekali? Soalnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Zolkafly turut kesal dengan keceluparan seorang jutawan pro-Pakatan Harapan (PH) yang juga pengasas Gamuda Berhad, Koon Yew Yin menghina anggota tentera.

“Tanpa anggota tentera yang mempertahankan keamanan negara, Yew Yin tidak akan mampu menjadi jutawan dan mengumpul serta menikmati harta yang beliau miliki.

“Keamanan yang kita nikmati sekarang adalah hasil pengorbanan anggota tentera.

“Saya juga merasa kesal kerana NGO (badan bukan kerajaan) seperti Patriot yang selama ini lantang terhadap kebajikan anggota tentera berdiam diri. Adakah mereka takut atau sudah ‘termakan budi’? bidasnya lagi.

Kesimpulannya, Zolkafly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang memberi ingatan kepada beberapa pihak yang suka melampaui batas.

“Harus diingatkan kesabaran rakyat ada hadnya. Janganlah sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan yang boleh mengguris hati masyarakat yang lain.

“Apatah lagi ia datang daripada seorang yang pernah melahirkan simpati terhadap Chin Peng serta menziarahi ketua pengganas komunis berkenaan,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.