Pelik Sungguh, Video Disahkan Tulen Tapi Pelaku Tak Dapat Dikenali
Kenyataan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador yang mengesahkan video seks sejenis yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali adalah tulen, tetapi pelakunya tidak dapat dikenali, hanya menimbulkan lebih banyak tanda tanya dalam kepala rakyat jelata.
Dalam kenyataannya, Abdul Hamid berkata, ketulenan video itu adalah hasil analisis CyberSecurity.
“Kebarangkalian video tersebut tulen adalah tinggi.
“Hasil proses pengecaman wajah (facial recognition) adalah negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku di dalam video tersebut dengan individu yang dimaksudkan,” kata Abdul Hamid dalam satu kenyataan, petang semalam.
Haziq Abdullah Abdul Aziz sebelum ini mengakui beliau adalah lelaki dalam video yang tersebar itu, sambil mendakwa pasangannya adalah Azmin.
Haziq kini sudah diberhentikan sebagai Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama serta dipecat daripada PKR. Jawatannya ketika dipecat ialah Ketua AMK Santubong, Sarawak.
Berdasarkan perbualan rakyat dan respon di media sosial, ramai yang tidak dapat menerima apa yang dinyatakan Abdul Hamid itu.
Kata mereka, bagaimana video itu boleh disahkan tulen, tetapi dalam masa yang sama pelakunya tidak dikenalpasti?
Bukankah kedua-duanya saling berkaitan dan tidakkah polis ingin menjalankan siasatan lebih mendalam?
Apakah kenyataan IGP ini tidak lebih hanya bertujuan melindungi seseorang dan kerana adanya arahan daripada pihak atasan?
Kata mereka, adalah pelik apabila pihak berkuasa yang memiliki segala peralatan canggih masih gagal mengesan pelaku video tersebut, sedangkan mata rakyat biasa pun tidaklah sukar mana menelah siapa pelakunya.
Persoalan lain yang ditimbulkan ialah apakah kedua-dua pelaku dalam video itu gagal dikenalpasti atau salah seorang daripadanya saja yang tidak diketahui?
Jika kedua-duanya tidak dapat dikenalpasti, apakah kes ini akan ditutup begitu saja selepas ini?
Atau jika salah seorang daripada dapat dikenalpasti dan seorang lagi tidak, maka apakah pelaku yang dikenalpasti itu akan didakwa di mahkamah dan yang seorang lagi akan bebas begitu saja?
Kalau ini yang berlaku, di manakah keadilan, walhal hubungan seks mesti melibatkan perlakuan dua orang manusia?
Dalam waktu yang sama, tidak kurang yang mempertikaikan bahawa sekiranya pihak polis gagal mengesan pelaku dalam video yang berbentuk HD, bagaimanakah selama ini mereka menangkap penjenayah yang hanya dirakam melalui CCTV yang lebih kabur gambarnya?
Apakah mencari penjenayah yang dirakam melalui CCTV yang kabur lebih mudah berbanding mengenalpasti pelaku dalam video berbentuk HD?
Apa pun, di sebalik kenyataan IGP semalam, selain ia menimbulkan lebih banyak tanda tanda, tidak kurang yang melihatnya sebagai satu lagi lawak jenaka Malaysia Baru.
Shahbudin Husin (shabudindotcom)