Gagal Jadi Parti Dominan Orang Melayu… Apa Lagi Langkah Terdesak PPBM?

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Pelbagai cara, kenyataan dan tekanan telah dibuat oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas UMNO, namun majoriti pemimpin dan ahli UMNO masih kekal setia kepada parti walau berstatus pembangkang, ujar Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak.

Katanya, perkara tersebut amat mengecewakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu tambahan pula yang melompat masuk ke PPBM kebanyakannya demi kepentingan peribadi.

“Setelah setahun memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) PPBM masih gagal menjadi parti yang besar seperti yang diidam-idamkan Tun Mahathir.

“Sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang pada PRU15 sekalipun walaupun ramai yang jangka ianya tidak akan berlaku, PKR dan Dap tetap akan menjadi parti dominan dalam PH kerana majoriti besar orang Islam/Melayu tidak menyokong PH,” ujarnya dalam satu kenyataan di Facebook.

Jelas Adnan lagi, dengan faktor umur Tun Mahathir yang semakin berusia mencecah 94 tahun dan sekiranya sesuatu berlaku kepadanya dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sedang uzur tentunya parti PPBM akan lemah dan menjadi parti kecil dalam PH.

“PPBM akan gagal menjadi parti dominan menggantikan UMNO. Silap-silap PPBM akan berkubur seperti parti Semangat 46.

“Tun M nampaknya semakin terdesak dan tidak mustahil akan cuba mengharamkan UMNO sebagai langkah terakhir untuk menyelamatkan PPBM dan maruah penghujung perjalanan politiknya,” tambah Adnan, seorang peguam bela dan peguam cara.

Menurut Adnan juga, hakikatnya UMNO semakin kembali kuat selepas kekalahan perit pada PRU14.

“Kekalahan itu juga telah membuka ruang kepada kemasukan ramai pemimpin muda ke kepimpinan parti di setiap peringkat dan pada pemilihan parti 2021 akan memberi peluang sekali lagi kepada ahli-ahli parti untuk memilih pemimpin-pemimpin yang akan menguatkan lagi UMNO.

“Selagi ular sawa masih hidup ular lidi takkan mampu menelan ular sawa,” katanya.

Dalam status di media sosialnya juga, Adnan berpandangan gabungan UMNO/PAS kini jelas membentuk kekuatan parti pembangkang.

“Ramai sudah penganalisa politik meramalkan gabungan ini bakal menumbangkan kerajaan PH pada PRU15.

“Menurut analisa banyak kerusi parlimen yang dimenangi PH akan jatuh ke tangan BN/PAS apabila pertandingan dua penjuru berlaku dan bukannya tiga penjuru seperti PRU14, hanya berdasarkan jumlah undi semasa PRU14,” terangnya.

Ini ditambah lagi dengan prestasi kerajaan PH, tegasnya lagi.

“Lebih teruk kepada PH kini sentimen dan sokongan rakyat juga telah banyak berubah apabila mereka melihat sendiri kerajaan PH yang dulu berjanji bulan dan bintang hari ini bukan sahaja gagal menyamai prestasi kerajaan BN dalam pelbagai aspek malah telah gagal memenuhi janji-janji manifesto PRU14.

“Ekonomi semakin teruk, kepentingan org Melayu/Islam terjejas, isu-isu moral dan integriti mula melibatkan pemimpin-pemimpin PH, sikap cauvinis Dap begitu terserlah dan pelbagai isu lagi yang dari hari ke hari menghakis sokongan rakyat kepada PH. Sokongan itu kembali kepada BN/PAS,” katanya.

Begitu juga ramai anak muda sudah berani menyatakan kekesalan mereka mengundi PH dan berazam untuk menumbangkan rejim PH yang jelas mengamalkan ‘rule of law’ mengikut kepentingan mereka, tegas peguambela dan peguamcara itu lagi. – MediaUMNO.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.