PPBM Tidak Mampu Tandingi Keutuhan Akar Umbi UMNO – Mahdzir
PAGOH, 6 Julai – Ramalan dan telahan beberapa pihak yang mengatakan UMNO akan berkubur selepas mengalami kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah meleset sama sekali, tegas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Ini berikutan tindakan pihak-pihak yang mahu terus menjatuhkan UMNO dengan membuat propaganda akan berlaku penutupan Cawangan-cawangan serta penghijrahan ahli secara beramai-ramai tidak berlaku, katanya.
“Mereka meramalkan bahawa tiap-tiap bulan akan ada UMNO Cawangan akan ditutup selepas 9 Mei (2018).
“Kita ada lebih 21 ribu Cawangan yang ada di seluruh negara, tidak ada Cawangan yang ditutup.
“Penganalisa, peramal, tukang kipas dan tukang bodek kata akan tutup tetapi tiada yang tutup. Maknanya orang UMNO kekal bersama kepimpinan UMNO. Termasuklah UMNO Pagoh, yang dikira lebih dramatik,” ujarnya.
Mahdzir berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pagoh, di Dewan Seri Pekembar, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed, Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Ir Hamim Samuri, Ketua UMNO Bahagian Bakri, Mohd Fuad Tukirin dan Exco Wanita UMNO Malaysia, Datuk Noriah Mahat yang juga Ketua UMNO Wanita Pagoh.
Hadir sama Pengerusi MCA Pagoh, Datuk Lim Pay Hen, Pengerusi MIC Pagoh, Siva Ganesan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pasir dari parti PAS, Kapten (B) Najib Lep.
Jelas Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap lagi, keutuhan UMNO di akar umbi melalui jumlah ahli dan Cawangan-cawangan yang majoritinya masih kekal bersama parti tidak boleh ditandingi oleh parti saingannya seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
“Pengerusi PPBM, Tun Mahathir Mohamad kata kena buat mesyuarat agung dalam masa terdekat ini tetapi pindaan perlembagaan kena buat kata kepimpinan termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Nak buat pindaan perlembagaan kena ada keahlian dalam Cawangan…seperti di Terengganu dan Kelantan mereka tubuhkan Bahagian tetapi Cawangan tiada. Bila tiada Cawangan bagaimana hendak dibuat Bahagian? Bagaimana hendak buat mesyuarat di peringkat Bahagian?
“Tidak boleh tubuh (Cawangan PPBM)..sebab ahli UMNO tak lari dari UMNO, masih kekal dalam UMNO,” tegasnya yang mendapat tepukan gemuruh dari kira-kira lebih enam ratus perwakilan yang hadir.
Mahdzir turut mengulas mengenai pelawaan Tun Mahathir agar orang Melayu bersatu di bawah payung partinya yang dipercayai timbul setelah berlaku pergolakan sesama parti dalam PH, terutama perebutan kerusi Perdana Menteri.
“Hari ini bila ada masalah sesama dia dan semalam di Johor Bahru, Tun Mahathir sebut kalau boleh orang Melayu ini pakat-pakatlah masuk PPBM.
“Dia pun ada ajak UMNO. Jadi, penegasannya bahawa kalau dah setahun dua bulan ahli UMNO kekal bersama, jiwa raganya kini masih bersama UMNO,” terangnya lagi.
Sehubungan itu juga Mahdzir menyeru semua pendukung parti kekal bersama memperkukuhkan parti.
“Untuk kekuatan parti kita juga perlu melihat dari sudut kelemahan-kelamahan yang perlu diperbaiki seperti mungkin dalam Cawangan dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) berapa jumlah mereka yang masih belum jadi pengundi dan apa yang boleh dijadikan pendorong supaya anak-anak muda suka kepada parti.
“Begitu juga dengan kelebihan yang ada pada parti. UMNO amat istimewa kerana tiada parti yang mempunyai struktur tersusun seperti UMNO dengan Cawangan, Bahagian, Negeri dan Pusat,” tambahnya. – MediaUMNO