Annuar Ingatkan Tiga Perkara Utama Untuk Ahli Perkukuh UMNO

 

KUALA LUMPUR, 3 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengingatkan tiga perkara utama kepada seluruh ahli parti agar sama-sama dihayati dalam usaha meneruskan perjuangan bersama UMNO hari ini.

Pertama kalau kita seorang pejuang, bina ketahanan diri. Kalau kita seorang pengikut biasa nak cari projek, nak cari pangkat, nak jadi wakil rakyat dan sebagainya kalau itu sahaja kita, ketahanan tidak ada.

“Jadi tanya diri anda kalau anda mahu menjadi sebahagian daripada pejuang bina ketahanan diri dan jangan mudah goyah. Saya tengok banyak orang kita puji sebagai menteri, puji sebagai orang baik dan jujur dan ikhlas, hilang kuasa terus lompat. Kadang-kadang terfikir silapnya penilaian kita selama ini. Kalau kita pejuang pertamanya bina ketahanan diri.

Beliau berkata demikian pada Program Dari Parlimen anjuran Penerangan UMNO Malaysia, yang disiarkan secara langsung melalui medium Facebook UMNO-Online, malam tadi.

Keduanya pula tegas Annuar, perlu diingat politik ini perjalanannya panjang dan oleh kerana itu jangan kejar rampasan perang yang pendek dan yang sedikit, malah perkara tersebut ditunjukkan iktibarnya dalam peperangan Uhud ketika zaman Rasullullah SAW iaitu nampak ghanimah tinggal pengkalan sedangkan peperangan itu panjang lagi.

“Jadi jangan mengejar benda yang sedikit kerana kita tahu sebagai pejuang kita mahu menjaga kepentingan agama, bangsa dan ini yang harus kita ingat.

Ketiganya kita hanya akan menjadi kuat kalau kita bersama. Islam pun mengajar begitu dan dalam bahasa Melayu pun banyak perumpamaan-perumpamaan seperti hidup sandar menyandar, bagai aur dengan tebing, jangan jadi macam enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing, air dicincang tidak akan putus dan banyak lagi. Dalam al-Quran pun begitu… jadi pegang kepada prinsip-prinsip tersebut,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit