Mukhriz Dituntut Mohon Maaf Kepada Sultan Johor

JOHOR BAHRU 24 Mei – Kelakuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang tidak bersalaman dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di majlis rasmi istiadat pengebumian Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah di Pekan, Pahang semalam, disifatkan sebagai satu tindakan yang biadab.

Video menunjukkan Mukhriz enggan menghulur tangan dan bersalaman dengan Sultan Johor dan terus bersalaman dengan Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah yang berdiri di sebelah kiri Sultan Ibrahim berdurasi 14 saat turut viral di media sosial.

Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, tindakan Mukhriz itu bukan sahaja biadab tetapi turut hilang etika kemelayuan apabila berbuat demikian.
Malah, katanya, sifat kebudak-budakan dan tidak berakhlak Mukhriz itu juga tidak menggambarkan keperibadiannya sebagai seorang Menteri Besar.

“Di sebalik ketenangan dan kesyahduan majlis rasmi istiadat pengebumian Almarhum Sultan Ahmad Shah, Mukhriz dilihat bertindak biadab dan hilang etika kemelayuannya malah tindakannya itu juga tidak menghormati Sultan Johor,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Justeru, Pemuda UMNO negeri ini menuntut supaya Mukhriz memohon maaf kepada Sultan Johor atas tindakan beliau kerana rakyat Johor sama sekali tidak dapat menerima budaya buruk seperti yang dibawa oleh anak kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu.

Pada masa sama, Mohd. Hairi berkata, Pemuda UMNO Johor turut merafak sembah ucapan takziah kepada seluruh keluarga Kerabat Diraja Dan buat seluruh rakyat Pahang diatas kemangkatan Almarhum Sultan Ahmad Shah. – UTUSAN ONLINE.

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit