Permohonan Keahlian Terus BN Dibuka Secara Dalam Talian
KUALA NERUS, 29 – Barisan Nasional (BN) membuka peluang kepada semua rakyat tanpa mengira kaum menyertai gabungan itu menerusi keahlian terus.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, masyarakat Melayu boleh menyertai UMNO manakala kaum bukan Melayu termasuk masyarakat Cina dan India turut diberi peluang tanpa menyertai mana-mana parti komponen BN.

Katanya, rakyat pelbagai keturunan termasuk di Sabah dan Sarawak akan diberi peluang untuk menyertai BN dan permohonan boleh dikemukakan melalui dalam talian.
“Seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama termasuk yang tinggal di Sabah dan Sarawak boleh mengemukakan permohonan untuk menjadi ahli BN menerusi sistem pendaftaran secara dalam talian,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri merasmikan Majlis Sama Hadis Ijtimak Pondok Nusantara, di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini, hari ini.
Turut hadir Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Fadzli Adam dan Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Profesor Sheikh Dr Ali Muhyeldin Al Qaradaghi.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, penyertaan kaum bukan Melayu untuk menyertai BN termasuk rakyat di Sabah dan Sarawak tidak bercanggah dengan perlembagaan parti.
Sebaliknya ia sudah terdapat klausa dalam perlembagaan parti yang membolehkan kaum lain untuk menyertai BN. – BERITA HARIAN
