RUU Asing Peranan Peguam Negara, Pendakwa Raya Dalam Proses Dimuktamadkan – Azalina
KUALA LUMPUR, 25 Nov – Cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya masih dalam proses untuk dimuktamadkan bagi memastikan segala aspek perundangan dan perlembagaan yang berkaitan diberi pertimbangan sewajarnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan itu telah dipersembahkan untuk makluman Majlis Raja-Raja pada 13 Okt lepas.
Susulan itu, katanya, beberapa perkara yang dibangkitkan telah dibawa untuk penelitian lanjut oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK), khususnya berhubung dengan mekanisme pelantikan Pendakwa Raya.

Beliau berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) mengemukakan draf pindaan terkini kepada RUU tersebut pada 30 Okt, yang kemudiannya dibawa untuk penelitian dan perbincangan lanjut dalam Mesyuarat Penyelarasan JKPK pada 11 Nov lepas.
“RUU tersebut akan dibawa semula untuk pertimbangan Dewan Rakyat setelah proses penelitian dan pemuktamadan selesai,” katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik menerusi laman sesawang Parlimen.
Azalina menjawab pertanyaan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) tentang perkembangan terkini proses penggubalan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk memisahkan peranan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya.
RUU bagi memisahkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 23 Feb lepas.
Azalina kemudiannya membawa usul merujuk RUU berkenaan kepada JKPK selepas bacaan kali kedua pada 3 Mac, bagi memberikan ruang kepada semua pihak berkaitan memperhalus dan meneliti RUU tersebut. – BERNAMA
