Malaysia-Indonesia Bersetuju Cadangan Program Desa Berkembar
KUALA LUMPUR, 24 Nov – Malaysia dan Indonesia bersetuju meneroka pelaksanaan Program Desa Berkembar atau Sister Village bagi memperkukuh kerjasama pembangunan luar bandar antara kedua-dua negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, persetujuan itu dicapai menerusi pertemuan dua hala bersama Kementerian Desa dan Pembangunan Daerah Tertinggal Republik Indonesia (KEMENDES PDT) bagi memperincikan langkah susulan kerjasama berkenaan.
Beliau berkata, program berkenaan akan memadankan kampung di Malaysia dan Indonesia berdasarkan kekuatan, potensi ekonomi serta kesesuaian masing-masing.
“Melalui pendekatan ini, komuniti desa berpeluang berkongsi kepakaran, membangunkan produk bersama, memperluas jaringan perniagaan serta membuka akses pasaran yang lebih luas kepada koperasi dan usahawan desa,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, kedua-dua negara turut bertukar pandangan mengenai pembangunan koperasi dan perusahaan desa, termasuk perkongsian pengalaman serta amalan terbaik dalam memperkukuh ekonomi komuniti.
Katanya, Malaysia bersedia berkongsi pengalaman dalam memperkukuh koperasi dan keusahawanan luar bandar, manakala pengalaman Indonesia menerusi Badan Usaha Milik Desa (BUMDes) boleh dijadikan rujukan dalam aspek pengurusan aset serta perusahaan milik komuniti.
Selain itu, Malaysia turut berminat mempelajari metodologi Indeks Desa Indonesia sebagai rujukan untuk memperkukuh kaedah penilaian kemajuan kampung di negara ini.
“Pendekatan tersebut boleh membantu memastikan intervensi pembangunan dirancang dengan lebih tepat dan bersasar, sekali gus memenuhi keperluan sebenar masyarakat desa,” katanya.
Sebagai langkah susulan, Ahmad Zahid berkata, kedua-dua pihak turut bersetuju menubuhkan Kumpulan Kerja Bersama atau Joint Working Group (JWG) bagi memperincikan cadangan yang dibincangkan, mengenal pasti program keutamaan serta memantau pelaksanaannya.
Beliau berkata, lawatan penandaarasan seterusnya akan diteruskan ke Desa Tegallalang dan Desa Mas di Kabupaten Gianyar bagi meninjau secara langsung pendekatan pembangunan ekonomi komuniti di kawasan berkenaan.
Lawatan itu akan memberi tumpuan kepada bagaimana sektor pertanian, warisan budaya, agropelancongan dan perusahaan kraf tempatan dimanfaatkan untuk menjana pendapatan serta memperkukuh ekonomi masyarakat desa.
“Semoga segala pengalaman dan amalan terbaik yang diperoleh dapat disesuaikan dengan keperluan Malaysia dalam usaha memperkasa masyarakat desa dan memastikan manfaat pembangunan benar-benar sampai ke peringkat akar umbi,” katanya lagi. – UMNO Online
