GST 2.0 Wajar Kembali, Kurangkan Cukai Bertindih – Fadzmel

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Cadangan mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) perlu dipertimbangkan secara serius bagi membina sistem percukaian negara yang lebih telus, menyeluruh dan mampu mengurangkan isu cukai bertindih yang akhirnya ditanggung pengguna.

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Fadzmel Fadzil berkata, Malaysia memerlukan sistem percukaian yang bukan sahaja berupaya meningkatkan hasil kerajaan, malah memastikan rakyat dapat memahami dengan lebih jelas cukai yang dikenakan terhadap barangan dan perkhidmatan.

Mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung hasrat mengembalikan GST serta kritikan bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, Fadzmel berkata, tanggapan bahawa GST hanya membebankan rakyat perlu dinilai secara lebih menyeluruh.

Menurutnya, sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan ketika ini juga tidak bermakna pengguna bebas daripada menanggung cukai kerana kos cukai di peringkat pembekal boleh dipindahkan ke dalam harga barangan.

“Di bawah SST hari ini pun, cukai yang dibayar oleh pembekal boleh dimasukkan ke dalam harga barang. Apabila kos itu dipindahkan kepada pembeli, siapa yang akhirnya membayar di kaunter? Rakyat juga,” katanya.

Beliau berkata, walaupun kerajaan memperluas skop SST mulai Julai 2025 dengan anggaran kutipan meningkat daripada RM55.9 bilion pada 2025 kepada RM67 bilion pada 2026, persoalan lebih besar ialah sejauh mana sistem itu mampu menangani cukai bertindih dalam rantaian bekalan.

Katanya, GST mempunyai mekanisme kredit cukai input yang membolehkan peniaga berdaftar menolak cukai yang telah dibayar bagi pembelian perniagaan yang layak daripada cukai yang perlu diserahkan kepada kerajaan.

Beliau memberikan contoh seorang pengusaha sos cili yang membeli botol kosong daripada pembekal dengan GST sebanyak RM6.

Apabila pengusaha itu menjual sos cili dan mengutip GST sebanyak RM12 daripada pelanggan, beliau hanya perlu menyerahkan baki RM6 kepada Kastam selepas menolak RM6 yang telah dibayar ketika membeli botol.

“Ini menunjukkan bagaimana GST mengurangkan cukai bertindih. Cukai yang sudah dibayar pada peringkat pembekal boleh dituntut semula melalui kredit cukai input, sekali gus mengelakkan cukai tersebut terus menjadi sebahagian daripada kos pengeluaran,” katanya.

Mengulas isu kelewatan bayaran balik GST yang pernah berlaku sebelum ini, Fadzmel berkata kelemahan tersebut perlu diperbaiki melalui mekanisme pelaksanaan yang lebih teratur.

Antara cadangan dikemukakan termasuk menetapkan tempoh bayaran balik, menyediakan peruntukan dana khusus serta mengumumkan prestasi pembayaran secara berkala bagi memastikan hak peniaga terpelihara.

Dalam masa sama, beliau mencadangkan kadar GST yang munasabah serta kadar sifar bagi barangan keperluan asas seperti beras bagi mengurangkan kesan terhadap golongan berpendapatan rendah.

“Kalau kita benar-benar mahu mengukur beban rakyat, bandingkan harga bakul barangan yang sama di bawah SST dan GST yang dicadangkan. Jangan sekadar berhujah berdasarkan persepsi, sebaliknya tunjukkan angka supaya rakyat boleh membuat penilaian,” katanya.

Fadzmel turut mencadangkan supaya sistem e-Invois yang telah dilaksanakan kerajaan dimanfaatkan sekiranya GST diperkenalkan semula bagi memudahkan pelaporan cukai, semakan tuntutan kredit input dan urusan bayaran balik.

Menurutnya, peniaga tidak sepatutnya dibebankan dengan proses memasukkan maklumat transaksi yang sama berulang kali sehingga meningkatkan kos pematuhan.

Beliau turut merujuk laporan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengenai Malaysia yang mengutamakan pengenalan semula GST berbanding peluasan lanjut SST, selain statistik Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang menunjukkan 175 atau 87 peratus negara dan wilayah menggunakan sistem GST atau VAT setakat Julai 2024.

Katanya, Malaysia juga mempunyai pengalaman melaksanakan GST sebelum sistem itu dimansuhkan ketika Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan.

“Malaysia sudah mempunyai pengalaman sendiri. Apa yang diperlukan sekarang ialah GST 2.0 yang lebih baik, dengan perlindungan jelas kepada keluarga, proses lebih mudah untuk peniaga dan sistem bayaran balik yang lebih cekap serta telus.

“Kita tidak boleh hanya melihat berapa banyak hasil yang kerajaan mampu kutip. Kita juga perlu melihat sama ada sistem percukaian itu adil, mengurangkan cukai bertindih dan tidak membebankan rakyat serta sektor perniagaan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO