Pengurusan Bencana Mesti Cekap, Jangan Kelam Kabut Saat Banjir – Manndzri

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib meminta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperincikan pelaksanaan sebenar dua program di bawah kementerian itu.

Menurutnya, ia termasuk kumpulan sasar yang bakal menerima manfaat bagi memastikan tiada pertindihan fungsi dengan program sedia ada kendalian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau berkata, penjelasan terperinci amat penting bagi memastikan setiap program dilaksanakan secara tersusun, mempunyai hala tuju jelas serta memberi manfaat kepada kumpulan sasaran yang ditetapkan.

“Memandangkan musim tengkujuh risiko banjir sentiasa menghantui rakyat Tenggara harap pengurusan logistik depoh simpanan bencana benar-benar cekap dalam urus bencana pastikan stok keperluan asas sentiasa tersedia sebelum bencana melanda jangan sampai air sudah naik ke paras bumbung baru kita nak kelam kabut. Memandangkan peruntukan pembangunan bagi Depoh Simpanan Keperluan Mangsa Bencana dinaikkan daripada RM400,000 kepada RM1.3 juta.

“Berapakah jumlah depoh simpanan dan pangkalan hadapan yang akan dinaik taraf atau dibina baharu melalui peruntukan ini, dan sejauh manakah kapasiti stok bekalan makanan serta keperluan asas ini mampu menampung gelombang banjir besar serentak di negeri-negeri berisiko tinggi seperti di Johor.

“Bagi peruntukan ‘One-Off’, berapakah sasaran bilangan sukarelawan baharu yang akan dilatih di peringkat akar umbi, dan bagaimanakah penyelarasan dibuat dengan agensi seperti NADMA dan APM agar tidak berlaku pertindihan tugas serta kecelaruan rantaian arahan (chain of command) di Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika perbahassan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Dalam masa sama Manndzri berkata, peningkatan peruntukan di bawah Program Khusus Sosioekonomi Warga Emas sebanyak RM1.3 bilion serta Pembangunan Piawaian Penjagaan Nasional sebanyak RM5 juta merupakan langkah yang perlu disusuli dengan pelaksanaan lebih cekap dan berkesan.

“Namun, dalam kita bersiap sedia menuju negara tua isu pokok di lapangan ialah birokrasi permohonan bantuan kebajikan. Ramai warga emas di kampung-kampung mengeluh proses semakan makan masa berbulan-bulan.

“Justeru, dengan peruntukan yang diberikan sejauh manakah Kementerian mempermudahkan proses tapisan dan penyaluran bantuan agar tidak ada lagi warga emas yang tercicir hanya kerana isu teknikal dokumentasi? Dan apakah garis masa pelaksanaan “Care Economy” di bawah ini agar ia tidak sekadar menjadi kajian di atas meja,” jelasnya.

Beliau turut meminta KPWKM memperjelaskan garis masa pelaksanaan agenda Care Economy supaya inisiatif berkenaan tidak sekadar berakhir sebagai kajian di atas meja, sebaliknya diterjemahkan kepada tindakan nyata yang memberi manfaat kepada rakyat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO