DAP Berdepan Krisis, Isu 3R Kembali Jadi Persoalan – Hafiz Ariffin
KUALA LUMPUR, 24 Nov – Pengakuan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bahawa parti itu sedang berdepan krisis politik susulan beberapa perkembangan pilihan raya kebelakangan ini menimbulkan persoalan mengenai pendekatan politik yang dibawa parti berkenaan.
Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin berkata, kekalahan DAP dalam beberapa pilihan raya termasuk di Sabah, Johor dan Melaka serta perkembangan politik di Negeri Sembilan memperlihatkan cabaran yang sedang dihadapi parti itu.
Menerusi perkongsian di media sosial miliknya, beliau mempersoalkan sama ada tindakan DAP yang dilihat kembali membangkitkan isu berkaitan raja, agama dan kaum atau 3R merupakan sebahagian daripada strategi untuk mendapatkan semula sokongan penyokong terasnya.

Menurut beliau, ketiga-tiga isu berkenaan melibatkan beberapa kontroversi yang dikaitkan dengan pemimpin DAP dan Pakatan Harapan sejak kebelakangan ini.
Mengulas isu institusi diraja, Hafiz membangkitkan beberapa perkara termasuk kenyataan Tony Pua berkaitan institusi istana serta pendedahan minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang turut menjadi perhatian umum.
Bagi isu agama pula, beliau menyentuh kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berhubung arahan penutupan premis perniagaan ketika solat Jumaat di Terengganu yang mencetuskan polemik sehingga menerima teguran daripada beberapa pihak termasuk rakan dalam Kerajaan Perpaduan
Beliau turut membangkitkan isu rumah ibadat yang dikaitkan dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, yang menurutnya menimbulkan ketegangan serta perdebatan dalam masyarakat.
Sementara itu, menyentuh isu kaum, Hafiz memetik kenyataan bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam sebuah podcast yang membincangkan persepsi terhadap sokongan pengundi bukan Melayu kepada DAP berbanding sokongan kaum Melayu kepada parti lain.

Katanya, kenyataan tersebut menimbulkan persoalan mengenai persepsi politik berasaskan kaum dan bagaimana perkara itu dilihat secara berbeza mengikut parti yang terlibat.
Dalam pada itu, Hafiz turut mempersoalkan tindakan pantas yang diambil terhadap perkara tertentu berbanding isu-isu berkaitan dasar dan kepentingan awam yang menurutnya masih belum mendapat penjelasan sewajarnya.
Justeru, beliau mengajak masyarakat menilai perkembangan berkenaan, khususnya apabila isu berkaitan institusi raja, agama dan kaum terus menjadi perdebatan dalam landskap politik negara.- UMNO Online
Kupasan penuh menerusi pautan di bawah:
https://vt.tiktok.com/ZSsLU5Xpn/
https://www.facebook.com/share/v/1FoUiKdUNu/?mibextid=wwXIfr
https://www.instagram.com/reel/DgFUQlftJiP/?bqrl=MjF0cGd5N25kMHBt
