GST: Jangan Sampai Sentimen Politik Mengatasi Kefahaman Ekonomi

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohammad Sollehin Tajie mengingatkan semua pihak untuk tidak membiarkan sentimen politik mengatasi kefahaman ekonomi ketika membahaskan isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Ujarnya, inflasi dipengaruhi oleh banyak faktor dan ia bukan menjadi indikator untuk menentukan sama ada GST ataupun Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang lebih baik.

“Saya pelik juga dengan jentera Pakatan Harapan (PH), Liyana Marzuki ini. Kejap jadi pakar perlembagaan, kejap pakar adat, kejap pakar politik. Sekarang dah jadi pakar ekonomi pula. Agaknya terlalu ghairah nak menyerang Barisan Nasional (BN), sampai kadar inflasi dijadikan ukuran untuk menentukan sama ada GST atau SST lebih baik.

“Dia kena faham bahawa inflasi bukan semata-mata berpunca daripada sistem percukaian. Ia turut dipengaruhi harga minyak dunia, nilai ringgit, dasar subsidi kerajaan, kos import dan keadaan ekonomi global.

“Pada 2016 dan 2017, kadar GST kekal enam peratus, tetapi inflasi meningkat daripada 2.1 peratus kepada 3.7 peratus. Dalam tempoh tersebut, harga RON95 meningkat sekitar 23 peratus dan diesel 29 peratus,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang berkata, inflasi telah mencecah 3.3 peratus ketika SST dilaksanakan.

“Pada 2022 pula, ketika SST dilaksanakan, inflasi mencecah 3.3%. Macam mana pula tu? Nak salahkan SST juga?

“Menurut laporan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) 2024, sebanyak 175 negara dan wilayah menggunakan GST atau VAT. Kalau GST itu begitu buruk, adakah kesemua negara tersebut tidak faham ekonomi? Adakah semuanya kerajaan yang kejam dan mahu menyamun duit rakyat?” soalnya.

Ujarnya, kadar percukaian, kaedah pelaksanaan dan perlindungan yang patut dibahaskan.

“GST bukanlah sistem yang sempurna, tetapi yang sepatutnya dibahaskan ialah kadar cukai, kaedah pelaksanaan dan perlindungan kepada rakyat. Dalam statistik ada satu prinsip asas, ‘correlation does not imply causations’. Maksudnya, dua perkara yang berlaku serentak tidak semestinya satu menjadi punca kepada yang lain.

“Nak kritik BN, silakan. Tetapi jangan sampai sentimen politik mengatasi kefahaman ekonomi. Kadang-kadang kelakar juga apabila orang yang kononnya pandai cuba memperbodohkan rakyat, tetapi akhirnya memperlihatkan kelemahan kefahaman sendiri.

“Statistik itu tidak salah. Cara mentafsirkannya yang bermasalah,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO