Pahang Fokus Pelaburan Berkualiti, Sasar Peluang Kerjaya Bernilai Tinggi

KUANTAN, 24 Nov – Kerajaan Negeri Pahang terus mempergiat usaha menarik pelaburan berkualiti dalam sektor berteknologi tinggi, ekonomi digital, tenaga hijau dan kecerdasan buatan (AI) bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri serta menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat, khususnya anak tempatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohamad Nizar Najib berkata, kejayaan menarik pelaburan tidak seharusnya diukur berdasarkan nilai modal yang dibawa masuk semata-mata, sebaliknya perlu dinilai melalui manfaat langsung kepada rakyat.

Menurutnya, antara aspek utama yang menjadi keutamaan kerajaan negeri ialah pewujudan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta pembangunan tenaga kerja tempatan yang mampu memenuhi keperluan industri masa hadapan.

Katanya, beberapa inisiatif strategik sedang digerakkan termasuk pembangunan Pahang Aerospace City, pelaksanaan Pahang Startups Roadmap 2030, projek tenaga hijau, pembangunan pusat data AI serta penerokaan industri Global Business Services (GBS).

“Usaha ini bukan sekadar membawa masuk pelaburan, malah membuka ruang kepada pewujudan pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan, teknologi maklumat, analitik data, penyelidikan, automasi dan pelbagai bidang profesional lain,” katanya.

Beliau berkata, menerusi Pahang Startups Roadmap 2030, kerajaan negeri menyasarkan kelahiran 300 syarikat pemula berteknologi tinggi, penyediaan 5,000 peluang pekerjaan serta sumbangan tambahan sebanyak RM2 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri menjelang 2030.

Tambahnya, hala tuju pembangunan ekonomi negeri adalah untuk memastikan anak-anak Pahang bukan sekadar menjadi pemerhati kepada kemajuan teknologi, sebaliknya berpeluang menjadi tenaga mahir, pencipta inovasi dan peneraju industri masa hadapan.

Jelasnya, kemasukan pelaburan berkualiti perlu bergerak seiring dengan pembangunan modal insan supaya pertumbuhan ekonomi negeri dapat diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup serta kesejahteraan rakyat.

“Pelaburan masuk, ekonomi berkembang, peluang pekerjaan bertambah dan rakyat menikmati manfaatnya.

“Inilah pembangunan yang kita mahukan untuk Pahang, bukan sahaja mengubah landskap ekonomi negeri, tetapi turut meningkatkan taraf hidup dan menjamin masa depan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO