MINDEF Terus Sokong Usaha Angkat Kisah Keperwiraan Anggota Keselamatan

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan terus menyokong usaha untuk mengangkat kisah keperwiraan anggota keselamatan agar pengorbanan mereka terus dikenang.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau telah berkesempatan menghadiri Malam Gala filem Takluk 2: Op Daulat pada Isnin.

“Alhamdulillah, berkesempatan menghadiri Malam Gala filem Takluk 2: Op Daulat yang mengangkat kisah pencerobohan Lahad Datu, Sabah pada tahun 2013.

“Filem ini mengingatkan kita tentang keberanian, kesetiaan dan pengorbanan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mempertahankan kedaulatan negara. Keamanan yang kita nikmati hari ini bukan datang bergolek,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berpandangan bahawa filem merupakan medium penting untuk menghidupkan sejarah termasuk menarik minat anak muda untuk menyertai pasukan keselamatan.

“Saya percaya filem merupakan medium penting untuk menghidupkan sejarah, mendekatkan ATM dengan rakyat, menyemarakkan patriotisme serta menarik minat generasi muda menyertai pasukan keselamatan.

“MINDEF akan terus menyokong usaha mengangkat kisah keperwiraan anggota keselamatan agar pengorbanan mereka sentiasa dikenang dan dihargai.

“Tahniah kepada seluruh barisan produksi dan pelakon. Semoga filem ini mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Untuk rekod, filem Op Takluk: Lahad Datu telah ditayangkan pada 22 Ogos 2024 dan mencapai hasil kutipan sebanyak RM26 juta.

Ia telah menjadi permulaan kepada sekuel Takluk 2: Op Daulat yang mengangkat gandingan pasukan keselamatan Malaysia (PDRM dan ATM) semasa Operasi Daulat di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Takluk 2: Op Daulat akan menemui para penonton di pawagam terpilih bermula pada 25 November ini. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO