Johor Sasar 100,000 Unit RMMJ Menjelang 2030

JOHOR BAHRU, 23 Nov – Kerajaan Negeri Johor menyasarkan pembinaan 100,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menjelang 2030 dengan memberi penekanan kepada aspek penyediaan bekalan, kelancaran pelaksanaan projek serta pengagihan yang lebih adil mengikut keperluan rakyat di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, komitmen itu merupakan sebahagian daripada hala tuju Belanjawan Johor 2027 yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, bagi memastikan lebih ramai Bangsa Johor berpeluang memiliki kediaman sendiri.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar dan Gambir pada persidangan Dewan Negeri Johor hari ini berhubung strategi mencapai sasaran berkenaan serta memastikan pengagihan rumah mampu milik dilaksanakan secara saksama.

Menurutnya, sehingga suku ketiga 2026, sebanyak 25,791 unit RMMJ telah siap dibina, manakala baki 4,209 unit lagi disasarkan siap menjelang akhir tahun ini bagi melengkapkan sasaran 30,000 unit bagi tempoh 2022 hingga 2026.

“Fokus seterusnya adalah menyediakan tambahan 70,000 unit bagi tempoh 2027 hingga 2030. Kita mahu setiap perancangan pembangunan diterjemahkan kepada rumah yang benar-benar siap dan boleh dimiliki rakyat, bukan sekadar angka di atas kertas,” katanya.

Mohd Jafni yang juga ADUN Bukit Permai berkata, pengagihan RMMJ akan berpandukan analisis data Sistem e-Rumah Johor yang merangkumi jumlah pemohon layak, pendapatan isi rumah, bekalan kediaman serta kesesuaian tapak di 10 daerah dan 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan pembangunan rumah dilaksanakan berdasarkan permintaan sebenar, termasuk memberi perhatian kepada kawasan luar bandar yang masih kekurangan bekalan rumah mampu milik.

“Adil bukan bermaksud setiap kawasan menerima jumlah rumah yang sama, tetapi setiap kawasan mendapat perhatian berdasarkan keperluan penduduk dan kemampuan mereka. Keluarga di luar bandar juga berhak menikmati peluang memiliki rumah sendiri,” katanya.

Beliau berkata, Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) turut meneliti potensi penggunaan tanah kerajaan, tanah wakaf dan baitulmal bersama agensi berkaitan bagi memperluas peluang pembangunan perumahan.

Selain itu, saluran pembangunan akan dipelbagaikan menerusi kerjasama pemaju swasta, PKPJ, KPRJ serta Kerajaan Persekutuan, termasuk pelaksanaan inisiatif Citra Johor seperti Rumah Orang Muda dan Kediaman Mesra Warga Emas.

Dalam memastikan kelancaran projek, katanya, Pusat Penyelarasan Pembangunan Perumahan (PDRC) akan terus diperkukuh bagi menangani isu kelulusan, infrastruktur dan penyelarasan teknikal, manakala sistem SMART RMMJ digunakan untuk memantau kemajuan projek dari peringkat mula bina sehingga siap dengan pengeluaran Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

“Kita tidak mahu projek lewat hanya dikenal pasti apabila pembeli mula terkesan. Pemantauan perlu dibuat lebih awal supaya tindakan pemulihan dapat diambil dan kepentingan pembeli sentiasa dilindungi,” katanya.

Tambah beliau, agenda pemilikan rumah juga akan dilengkapi bantuan pemilikan dan sewaan menerusi Perumahan Kasih Johor seperti diumumkan dalam Belanjawan Johor 2027.

“Di sebalik setiap permohonan, ada keluarga yang mengharapkan kestabilan hidup. Amanah kita adalah memastikan lebih banyak kunci dapat diserahkan dan lebih ramai keluarga Bangsa Johor akhirnya mampu menikmati kehidupan di rumah sendiri,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO