PM Perlu Jelaskan Penyahklasifikasian – Noor Hariri

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak boleh melepaskan diri daripada tanggungjawab politik dan pentadbiran berhubung isu penyahklasifikasian serta pendedahan Minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang melibatkan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Noor Hariri Mohamed Noor berkata, sebagai Ketua Kerajaan dan individu yang mengetuai pentadbiran negara, beliau wajib memberikan penjelasan yang tuntas mengenai siapa yang mengarahkan penyahklasifikasian tersebut, apakah asas perundangannya dan sama ada segala prosedur serta tatacara kelulusan yang sewajarnya telah dipatuhi, termasuk peranan dan keputusan Jemaah Menteri.

“Tindakan mendedahkan kandungan minit mesyuarat yang melibatkan institusi tertinggi negara ini bukan perkara kecil yang boleh dianggap sebagai urusan pentadbiran biasa. Sekiranya penyahklasifikasian dibuat tanpa melalui kelulusan atau proses yang sewajarnya, ia merupakan satu persoalan serius berkaitan tadbir urus, keselamatan dokumen rasmi kerajaan dan pematuhan kepada Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Perdana Menteri perlu bertanggungjawab memastikan tiada pihak menggunakan kedudukan dan kuasa kerajaan secara sewenang-wenangnya dalam perkara yang menyentuh institusi Raja-Raja Melayu. Lebih membimbangkan, pendedahan kandungan minit tersebut telah membuka ruang kepada individu-individu tidak bertanggungjawab untuk menghina, memperlekehkan dan mempersoalkan kewibawaan institusi Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

“Perlu ditegaskan bahawa Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa pengampunan sebagai prerogatif perlembagaan YDPA bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan. Kuasa ini merupakan sebahagian daripada kedudukan dan tanggungjawab institusi Ketua Utama Negara yang wajib dihormati,” katanya.

Tegas beliau, segala perbincangan dalaman Lembaga Pengampunan tidak sepatutnya dijadikan bahan politik untuk mencetuskan persepsi negatif terhadap kebijaksanaan serta kewibawaan Seri Paduka Baginda.

Mengulas lanjut, Hariri yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas menegaskan, kerajaan tidak boleh bersikap selektif dalam soal ketelusan sehingga dokumen berkaitan proses pengampunan tertentu didedahkan kepada umum, sedangkan implikasi terhadap institusi diraja dan kepentingan perlembagaan negara tidak diberikan pertimbangan sewajarnya.

“Rakyat berhak mengetahui sama ada penyahklasifikasian ini dibuat melalui proses yang sah, siapakah pihak yang meluluskannya dan mengapa kandungan minit tersebut boleh tersebar kepada pihak luar. Ketelusan tidak boleh dijadikan alasan untuk menggadaikan prinsip kerahsiaan, kewibawaan institusi negara dan keluhuran Perlembagaan.

“Perdana Menteri harus tampil memberikan penjelasan terbuka dan bertanggungjawab kepada rakyat. Siasatan bebas perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap penyahklasifikasian dan penyebaran dokumen berkenaan, serta memastikan segala tindakan mematuhi undang-undang,” ujarnya.

Tegasnya, jangan sampai kepentingan politik kepartian mengatasi kepentingan negara dan penghormatan terhadap institusi YDPA.

“Institusi Raja-Raja Melayu bukan alat politik, Perlembagaan bukan bahan percaturan dan kuasa prerogatif YDPA wajib dihormati serta dipelihara oleh setiap lapisan kepimpinan negara,” tegasnya lagi.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO