Belanjawan 2027 Pahang Komprehensif, Hasil Pengurusan Pentadbiran Cekap – Shahaniza

KUALA KRAU, 22 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berpandangan Belanjawan 2027 Negeri Pahang adalah satu belanjawan yang komprehensif hasil daripada pengurusan pentadbiran yang cekap.

Shahaniza yang juga Ketua Penerangan UMNO Negeri Pahang bersetuju pentadbiran yang cekap itu membuahkan hasil apabila lima tahun berturut-turut pendapatan negeri berjaya memperoleh lebih RM1 bilion di samping mengurangkan hutang negeri daripada RM3.3 bilion kepada RM825 juta.

“Ia menyentuh berbagai pihak dan yang paling penting bagi saya ialah dalam bidang pendidikan. Satu jumlah yang besar yang telah diberikan. Mencakupi daripada kanak-kanak di peringkat sekolah rendah sehinggalah kepada mereka yang belajar di universiti, di luar negara dan di Sabah dan Sarawak. Jadi semua sekali mendapat manfaat daripada Belanjawan 2027.

“Ini bukan satu perkara baru sebenarnya kepada Pahang. Untuk lima tahun kebelakangan ini memang Yang Amat Berhormat Tok Wan (Menteri Besar Pahang-Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) memberikan satu pendekatan iaitu menjaga kebajikan rakyat. Apa saja pendapatan yang negeri dapat, dipulangkan balik kepada rakyat. Saya rasa, hampir 50 peratus dipulangkan balik kepada rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Shahaniza ditemui sebaik selesai Program Jelajah Mega Penerangan UMNO Malaysia Peringkat Negeri Pahang di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kasim, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Seri Azalina Othman Said, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said.

Jumaat lalu, Wan Rosdy membentangkan Belanjawan 2027 Negeri Pahang dengan menyasarkan hasil sebanyak RM1.507 bilion bagi tahun 2027 dengan perbelanjaan mengurus berjumlah RM1.502 bilion, sekali gus mencatatkan lebihan sebanyak RM5 juta.

Bertemakan “Pahang 1st: Kerajaan Prihatin, Rakyat Diutamakan”, belanjawan itu dirangka dengan mengambil kira keperluan semasa, cabaran ekonomi serta harapan rakyat terhadap masa depan negeri.

Jelas Shahaniza lagi, jentera penerangan telah ditugaskan untuk menguar-uarkan Belanjawan 2027 Negeri Pahang dalam pelbagai platform media sosial sama ada di platform WhatsApp, TikTok, Threads, Instagram dan Facebook.

Manakala berhubung dengan program jelajah penerangan, Shahaniza yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran mengucapkan terima kasih kepada pasukan Penerangan UMNO Malaysia di bawah kelolaan Azalina serta berharap jentera negeri dan bahagian akan menyebarluaskan maklumat yang diperolehi hingga ke peringkat akar umbi.

Begitu juga dengan gerak kerja penerangan negeri bagi menghadapi pilihan raya umum kelak, Shahaniza berkata ia sedang berjalan dengan dimulai dengan pelbagai kursus, latihan dan bengkel khususnya berkaitan media sosial. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO