Belanjawan Johor 2027: RM1.53 Bilion Untuk Pembangunan, Kebajikan Rakyat Jadi Keutamaan

JOHOR BAHRU, 19 Nov – Kerajaan Johor memperuntukkan RM1.53 bilion bagi perbelanjaan pembangunan menerusi Belanjawan Johor 2027, dengan penekanan kepada usaha memperkukuh infrastruktur, memacu ekonomi serta memastikan kemajuan negeri dapat dinikmati seluruh Bangsa Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, belanjawan bertemakan “Johor Maju, Rakyat Sejahtera” itu menggariskan 284 tekad yang akan dilaksanakan berlandaskan Enam Teras Maju Johor.

Menurut beliau, peruntukan pembangunan sebanyak RM1.53 bilion itu meningkat lebih dua kali ganda berbanding RM600 juta pada 2023, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan memberi manfaat kepada rakyat.

“Peningkatan yang amat signifikan ini mencerminkan kesungguhan dan keupayaan Kerajaan Negeri untuk terus memacu agenda pembangunan negeri, memperkukuh infrastruktur serta memastikan kemajuan ekonomi negeri diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai oleh seluruh Bangsa Johor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2027 di Dewan Negeri Johor, hari ini.

Beliau berkata, pertambahan hasil negeri juga akan dimanfaatkan bagi membantu golongan memerlukan, termasuk orang miskin, anak-anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.

“Insya-Allah, hasil negeri yang bertambah ini akan terus dimanfaatkan untuk membantu orang-orang miskin dan anak-anak yatim. Membantu golongan OKU dan warga emas. Dan membantu seramai mungkin Bangsa Johor yang memerlukan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Johor merekodkan pertumbuhan ekonomi sebanyak lapan peratus pada 2025 berbanding 4.1 peratus pada 2023, manakala Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri mencecah RM170.9 bilion, menyumbang hampir 10 peratus kepada KDNK negara.

Pencapaian ekonomi itu turut disusuli peningkatan peluang pekerjaan daripada 19,000 kepada lebih 24,000, dengan kadar pengangguran kekal rendah pada 2.3 peratus pada 2025.

Nilai pelaburan yang diluluskan pula meningkat kepada RM110 bilion pada 2025 berbanding RM43 bilion sebelum ini, manakala bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, Johor sekali lagi mencatatkan nilai pelaburan tertinggi di Malaysia sebanyak RM99.7 bilion.

Mengulas kedudukan kewangan negeri, beliau memaklumkan hasil Johor sehingga pagi ini mencapai RM2.8 bilion, bersamaan 110 peratus daripada anggaran asal dan dijangka melepasi RM3 bilion menjelang akhir tahun ini.

Bagi Belanjawan Johor 2027, kerajaan negeri mengunjurkan hasil sebanyak RM3.077 bilion dan perbelanjaan keseluruhan RM3.075 bilion, sekali gus mencatatkan lebihan sebanyak RM2.328 juta.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri akan memastikan setiap perancangan pembangunan disokong pengurusan kewangan yang berhemah, berdisiplin dan bertanggungjawab.

Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus berkhidmat kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang politik, kaum mahupun agama.

“Kita akan berkhidmat untuk semua. Melayu, Cina, India, Orang Asli — kita semua Bangsa Johor,” katanya LAGI. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO