Usah Heret Institusi DiRaja Ke Kancah Politik Sempit – Rozi Mamat
KUALA LUMPUR, 19 Nov – Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu memandang serius tindakan penyebaran minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang melibatkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Pengerusinya, Datuk Rozi Mamat menegaskan, UMNO Terengganu berdiri teguh bersama kepimpinan UMNO Malaysia dalam membantah tindakan tersebut, khususnya oleh bekas Ahli Parlimen Dap, Tony Pua, yang dilihat tidak menghormati sensitiviti urusan pengampunan diraja.
“UMNO Terengganu tidak mahu melihat budaya politik yang semakin hilang batas kesopanan dan penghormatan terus dinormalisasikan.
“Negara ini tidak akan menjadi lebih demokratik hanya kerana segala perkara mahu dipolemikkan. Sebaliknya, kematangan demokrasi menuntut setiap pihak memahami batas kuasa, menghormati institusi dan bertanggungjawab terhadap tindakan masing-masing.
“Kita boleh berbeza pandangan tentang politik. Kita boleh berbeza pendirian tentang seseorang pemimpin. Tetapi jangan sesekali menjadikan institusi diraja sebagai mangsa kepada kebencian dan perseteruan politik,” katanya menerusi satu kenyataan.
Mengulas lanjut Rozi yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu menegaskan tindakan mendedahkan dokumen berkaitan prosiding pengampunan diraja kepada khalayak umum bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang ringan.
“Ia menimbulkan persoalan besar tentang kewajaran, pertimbangan dan tanggungjawab pihak yang terlibat, termasuk mereka yang membenarkan dokumen tersebut didedahkan.
“Dalam keghairahan berpolitik, jangan sampai ada pihak yang lupa bahawa negara ini mempunyai asas, adat dan institusi yang wajib dihormati.
“Tidak semua perkara boleh dijadikan bahan perdebatan terbuka, apatah lagi apabila ia menyentuh kedudukan dan kemuliaan institusi Yang di-Pertuan Agong (YDPA),” katanya lagi.
Sehubungan itu, UMNO Terengganu, menggesa pihak kerajaan memberikan penjelasan yang telus mengenai bagaimana dokumen berkenaan boleh didedahkan kepada umum serta memastikan segala proses yang melibatkan institusi diraja dilaksanakan dengan penuh tertib dan penghormatan.
“UMNO Terengganu ingin mengingatkan, jangan kerana terlalu ghairah mahu memenangkan percaturan politik, akhirnya institusi yang menjadi tonggak kedaulatan negara pula dipandang enteng.
“Mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu bukan bermakna menolak demokrasi. Sebaliknya, itulah sebahagian daripada tanggungjawab kita mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan yang menjadi asas kenegaraan Malaysia,” ujarnya.
Tegasnya, politik ada batasnya dan institusi diraja ada martabatnya. Kedaulatan negara jangan sekali-kali dijadikan taruhan. – UMNO Online
