Jangan Persenda Kuasa Agong, Hormat Perlembagaan -Ahmad Jazlan

KUALA LUMPUR, 19 Nov – UMNO Kelantan mengecam sekeras-kerasnya perlakuan membocorkan minit mesyuarat “sulit” Lembaga Pengampunan.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pihak Peguam Negara perlu memberi penjelasan dan bertanggungjawab sepenuhnya perilaku tidak berintegriti ini dengan niat disengajakan untuk memalukan Yang di Pertuan Agong (YDPA).

“Kenyataan Facebook Tony Pua yang mempertikaikan kuasa prerogatif KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong sebagaimana termaktub di dalam Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan bagi perkenan lega hukum terhadap keputusan tahanan rumah kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

“Tidak cukup dengan itu, Tony Pua juga sengaja melabelkan YDPA sebagai “King Kleptocrat” di dalam penulisannya bagi mengundang kecaman para netizen terhadap Institusi Raja.

“Sekali lagi pimpinan Dap secara terang-terangan menyentuh sensitiviti orang Melayu dan Raja-Raja Melayu sekaligus melanggar garis merah yang membentuk perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Machang menegaskan, pihak berkuasa tidak seharusnya berdiam diri atau mengambil pendekatan sambil lewa dalam menangani perkara berkenaan, sebaliknya perlu memastikan siasatan dilaksanakan secara telus, tegas dan menyeluruh.

“Menteri Dalam Negeri perlu tegas dengan perkara sebegini dengan mengambil tindakan dan siasatan rapi terhadap perlakuan jijik Tony Pua ini,” tegasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO