Kebocoran Dokumen Pengampunan Najib Perlu Disiasat – Fadzmel

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Fadzmel Fadzil menggesa agar kerajaan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung penyebaran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan Datuk Seri Najib Razak yang didakwa berlegar di media sosial.

Tegas beliau apabila dokumen bertaraf RAHSIA seperti Minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan boleh berlegar di laman media sosial seorang bekas ahli parlimen DAP, ianyabukan lagi bercakap soal teknikal undang-undang semata-mata malah  soal keselamatan negara dan maruah institusi diRaja.

“Hari ini minit mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan sendiri oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah dijadikan modal politik murahan dan bahan dagangan media sosial.

“Persoalannya, jika kerahsiaan mesyuarat tertinggi negara pun boleh dibocorkan sesuka hati demi memuaskan nafsu politik kepartian, apakah jaminan bahawa DAP tidak akan menggadaikan rahsia keselamatan atau pertahanan negara pada masa hadapan apabila kepentingan politik mereka menjadi taruhan?

“Lebih menjijikkan, cuba perhatikan sikap sebenar DAP terhadap kedudukan Raja-Raja Melayu. Dengan sengaja mengolah naratif kononnya Yang di-Pertuan Agong bertindak membelakangkan Kerajaan, walhal terbukti Yang di-Pertuan Agong telah menjalankan tugas baginda sesuai dengan kehendak perlembagaan,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan menerusi Facebook.

Kata beliau lagi yang juga Ketua Pemuda UMNO Setiawangsa, penggunaan pelbagai frasa provokatif dalam kenyataan Tony Pua ini bukan kebetulan atau kesilapan tatabahasa dan ianya seolah-olah isyarat halus untuk mempertikai keputusan YDP Agong sekali gus membakar sentimen kebencian penyokong tegar mereka supaya berani melanggar batas 3R (Raja, Agama, Kaum) tanpa rasa takut kepada undang-undang.

“Di mana suara kepimpinan tertinggi DAP? Membisu seribu bahasa seperti biasa apabila melibatkan penghinaan terhadap institusi Melayu dan Raja.

“Jangan bersembunyi di sebalik cop “TERBUKA” yang meragukan itu. Siasatan menyeluruh di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan wajib dijalankan segera bagi mengheret bukan sahaja Tony Pua, tetapi juga tangan-tangan ghaib dalam Kerajaan yang membocorkan dokumen ini ke muka pengadilan,” tambahnya.

Tambahnya lagi apa yang berlaku hari ini membuktikan, DAP hanya menjunjung tinggi keputusan Yang di-Pertuan Agong apabila ia menguntungkan mereka seperti ketika pengampunan penuh Anwar Ibrahim pada tahun 2018.

“Namun, apabila keputusan Baginda tidak selari dengan selera politik mereka, mereka sanggup mengeluarkan minit mesyuarat sulit semata-mata mahu memberi isyarat kepada penyokong tegar bahawa “kami tidak bersetuju, Raja yang berkeras”.

“Ini adalah sikap talam dua muka terhadap prinsip Raja Berperlembagaan. Kedaulatan Raja Berperlembagaan dan rahsia negara bukan barang mainan politik untuk meraih likes di media sosial. Jangan sampai kesabaran orang Melayu dan rakyat yang cintakan negara ini dicabar terlalu jauh,” ujarnya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO