UMNO Perak Gesa Kerajaan Jelaskan Proses Penyahklasifikasian Dokumen Pengampunan Najib
IPOH, 19 Nov – Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak mengecam tindakan bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua, yang menyebarkan dokumen yang didakwa sebagai minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tindakan tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana berpotensi mencetuskan polemik yang boleh meremehkan kedudukan serta kemuliaan institusi pengampunan diraja.
Beliau menegaskan kuasa pengampunan yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan mempunyai kedudukan tersendiri dan wajib dihormati semua pihak.

“Kuasa pengampunan yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan mempunyai kedudukan tersendiri yang mesti dihormati,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, UMNO Perak mempersoalkan proses penyahklasifikasian dokumen berkenaan, termasuk pihak yang memberikan kelulusan, asas perundangan yang digunakan serta sama ada perkara tersebut telah dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan.
Menurut Saarani, penjelasan menyeluruh perlu diberikan bagi mengelakkan sebarang keraguan terhadap integriti pengendalian dokumen rasmi yang berkaitan dengan prosiding pengampunan diraja.
“Prosiding pengampunan diraja tidak wajar diperalatkan untuk kepentingan politik, apatah lagi sehingga mengundang perdebatan yang boleh mencemarkan kemuliaan institusi Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Justeru, UMNO Perak mendesak kerajaan memberikan penjelasan segera berhubung kesahihan dokumen berkenaan, proses penyahklasifikasian serta pematuhan terhadap peruntukan undang-undang dan tatacara yang berkuat kuasa.
Saarani turut menegaskan bahawa tindakan tegas perlu diambil sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan kuasa atau ketidakpatuhan terhadap prosedur ditetapkan.
“Jika terdapat sebarang pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan kuasa atau ketidakpatuhan terhadap prosedur yang ditetapkan, tindakan tegas hendaklah diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab tanpa kompromi,” katanya lagi. – UMNO Online
