‘Jangan Benarkan Dokumen Rasmi, Sulit Negara Dibocor Sesuka Hati’
KUALA LUMPUR, 19 Nov – Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain menegaskan bahawa dokumen rasmi dan sulit negara tidak boleh dibenarkan dibocorkan sesuka hati seolah-olah undang-undang tidak wujud.
Menerusi satu kenyataan, beliau memaklumkan Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor mengecam sekeras-kerasnya dan amat kesal dengan tindakan sengaja menyebarkan dokumen sulit yang dikatakan minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan secara terbuka di media sosial.

“Tindakan ini adalah satu perbuatan yang tidak bermaruah, tidak beretika dan jelas bertujuan memanipulasi fakta untuk memburukkan keadaan serta memutarbelitkan proses pengampunan demi kepentingan politik pihak tertentu. Ia adalah satu pencabulan tanggungjawab yang serius dan tidak boleh dimaafkan sama sekali.
“Kuasa pengampunan, pengurangan dan penangguhan hukuman adalah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang termaktub di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Segala urusan dan dokumen berkaitan Lembaga Pengampunan adalah sulit secara hakikat dan wajib diuruskan dengan penuh tanggungjawab dan rasa hormat yang setinggi-tingginya,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bangi berkata, penyebaran dokumen tersebut berisiko meruntuhkan kepercayaan rakyat terhadap institusi Diraja dan kedaulatan undang-undang.
“Penyebaran dokumen tersebut tanpa kebenaran yang sah bukan sahaja melanggar prosedur rasmi negara, malah berisiko meruntuhkan kepercayaan rakyat terhadap institusi Diraja dan kedaulatan undang-undang kita. Pendekatan ini tidak bertanggungjawab dan kami menolaknya dengan tegas.
“Kami ingin menuntut penjelasan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung beberapa perkara. Pertama, adakah dokumen ini telah dinyahklasifikasikan secara rasmi mengikut prosedur dibawah Akta Rahsia Rasmi 1972?
“Kedua, adakah proses penyahklasifikasian tersebut mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu? Siapa yang mempunyai kuasa membuat keputusan membenarkan dokumen ini dikongsi kepada orang awam?
“Terakhir, adakah salinan yang tersebar adalah dokumen lengkap atau hanya sebahagian yang dipilih secara terpilih untuk mengelirukan rakyat?” soalnya.
Tambahnya, ia menjadi satu kesalahan yang serius jika didapati dokumen tersebut telah disebarkan tanpa mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.
“Sekiranya didapati dokumen ini disebarkan tanpa mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa, ia adalah satu kesalahan yang serius. Pihak berkuasa mesti menyiasat perkara ini dengan segera dan teliti, serta mengambil tindakan tegas dan sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab.
“Kita tidak boleh membenarkan dokumen rasmi dan sulit negara dibocorkan sesuka hati seolah-olah undang-undang tidak wujud. Jika amalan ini dibiarkan berleluasa, ia akan membuka pintu kepada kebiasaan yang meruntuhkan kestabilan dan kepercayaan terhadap sistem negara kita.
“Kita semua bertanggungjawab mempertahankan maruah institusi Diraja dan kedaulatan undang-undang negara. Kami menolak dengan tegas budaya menyebarkan maklumat tidak sah yang sengaja direka untuk mengelirukan masyarakat.
“Kebenaran mesti dibuktikan melalui saluran yang sah, bukan melalui kebocoran terpilih yang bertujuan memecahbelahkan dan meracuni pemikiran rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online
