Tony Pua Semakin Biadab, Perlu Tindakan Sewajarnya
KUALA LUMPUR, 19 Nov – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan tindakan Tony Pua mendedahkan minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perbuatan yang tidak menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong.
Beliau memandang serius pendedahan dokumen berkenaan kerana kuasa pengampunan merupakan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong sebagaimana termaktub dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, institusi Raja-Raja Melayu tidak seharusnya diperlakukan sedemikian rupa, apatah lagi dijadikan bahan polemik politik.

“Jangan sampai berlaku keadaan ‘kaduk naik junjung’, apabila kebebasan dan ruang yang diberikan disalahgunakan sehingga terlupa akan batas, adab dan tanggungjawab menghormati institusi negara,” katanya dalam satu kenyataan media.
Wan Rosdy turut mempersoalkan bagaimana dokumen berkaitan prosiding rasmi Lembaga Pengampunan boleh didedahkan kepada umum, selain membangkitkan persoalan mengenai keselamatan, kerahsiaan dan tatakelola dokumen kerajaan.
Beliau berkata, pihak berkuasa perlu mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap dokumen berkenaan serta meneliti prosedur penyahklasifikasiannya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera, termasuk meneliti kemungkinan berlakunya pelanggaran undang-undang berkaitan isu 3R serta aspek keselamatan dan kerahsiaan dokumen kerajaan.
“Sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang atau prosedur, tindakan sewajarnya mesti diambil tanpa pilih kasih,” tegasnya.
Tambah beliau, perbezaan politik bukan alasan untuk memperlekeh institusi Raja-Raja Melayu kerana penghormatan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan penjagaan kerahsiaan dokumen kerajaan merupakan soal prinsip, kedaulatan undang-undang serta tanggungjawab terhadap negara. – UMNO Online
