Banjir: 151 Projek RTB Telah Disenarai, Diluluskan
KUALA LUMPUR, 19 Nov – Sebanyak 151 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) telah diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua (RP2), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), kata Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Ketika sesi penggulungan di Dewan Rakyat semalam, beliau memaklumkan bahawa sebanyak RM28.1 bilion telah diperuntukkan meliputi 15 projek baharu dan 136 projek sambungan.

“Beberapa ahli parlimen telah membangkitkan berhubung projek RTB di bawah RP2, RMK13. Untuk makluman, sebanyak 151 projek RTB telah disenaraikan dan diluluskan di bawah RP2, RMK13 dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM28.1 bilion. Jumlah ini merangkumi 15 projek baharu dan 136 projek sambungan.
“Bagi Yang Berhormat Hulu Langat, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM1 juta pada tahun 2026 untuk projek pemuliharaan sungai jangka pendek. Projek tersebut telah siap sepenuhnya bagi menangani isu banjir di kawasan berisiko.
“Bagi penyelesaian jangka panjang pula, tiga projek RTB Lembah Sungai Langat bernilai RM1.23 bilion sedang dilaksanakan. Projek ini merangkumi Sungai Langat Fasa 2, Pakej 1 yang dijadualkan memasuki tender pada tahun 2027, Fasa 2, Pakej 2 yang dijangka siap pada April 2031 serta Fasa 1 yang dijangka siap pada Mei 2027.
“Pelaksanaan projek ini bertujuan mengurangkan risiko banjir secara menyeluruh dan mampan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan menilai keberkesanan projek-projek tersebut setelah siap dilaksanakan.
“Saya memahami permasalahan banjir kerana kawasan saya sendiri turut terlibat. Saya juga sedang menunggu projek RTB di kawasan saya disiapkan. Projek di kawasan saya tidak begitu besar, dengan kos sebanyak RM137 juta. Projek tersebut baru berada pada peringkat reka bentuk, tetapi Surat Setuju Terima (SST) telah dikeluarkan.
“Walau bagaimanapun, projek-projek ini dilaksanakan di kawasan hulu dan pertengahan Lembangan Sungai Langat. Pelaksanaannya dijangka dapat menyumbang kepada pengurangan risiko banjir secara menyeluruh di sepanjang lembangan sungai, termasuk kawasan hilir seperti daerah Kuala Langat.
“PETRA melalui JPS akan menilai keberkesanan projek-projek tersebut setelah siap dilaksanakan, khususnya dari aspek paras dan tempoh banjir di kawasan berkenaan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut menyeru ahli-ahli parlimen di kawasan berkaitan untuk memantau prestasi kontraktir dengan lebih rapi.
“Saya juga meminta supaya prestasi kontraktor dipantau dengan lebih rapi bagi memastikan projek dilaksanakan mengikut jadual serta memberikan nilai tambah dan impak yang sewajarnya kepada penduduk di kawasan terlibat.
“Sebagai contoh, saya boleh menyebut projek di Rantau Panjang. Saya juga telah turun padang bersama Yang Berhormat Datuk Mumtaz, Ahli Parlimen Tumpat, untuk melihat sendiri projek tersebut yang melibatkan kos sebanyak RM3.1 bilion di sepanjang kawasan sempadan Thailand, khususnya Sungai Golok.
“Peranan Ahli-ahli Yang Berhormat amat penting dalam memantau pelaksanaan projek serta melaporkan sebarang permasalahan kepada pihak kementerian supaya tindakan dan bantuan sewajarnya dapat diberikan,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
