Minit Lembaga Pengampunan: Dap Jangan Heret Institusi Raja Ke Medan Politik
JOHOR BAHRU, 18 Nov – Dap digesa supaya tidak menjadikan perbezaan pandangan dalam proses Lembaga Pengampunan sebagai modal politik sehingga mengheret institusi Raja ke dalam polemik kepartian.
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Johor Bahru, Ahmad Solehin Abd Ghani berkata, kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, berhubung minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang melibatkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dilihat lebih menjurus kepada usaha membersihkan imej politik Dap berbanding menjelaskan proses pengampunan secara adil.
Menurutnya, tindakan memaparkan pendirian anggota Lembaga sebagai pertentangan antara kerajaan dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong boleh menimbulkan persepsi seolah-olah institusi Raja terlibat dalam pertarungan politik.

“Tony Pua berhak menyatakan pendiriannya. Namun, beliau juga perlu bertanggungjawab terhadap cara beliau menggambarkan proses yang dipengerusikan oleh Baginda.
“Menonjolkan siapa yang membantah dan siapa yang menandatangani perintah semata-mata untuk membuktikan kedudukan sebuah parti tidak membantu rakyat memahami institusi pengampunan dengan tertib,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Solehin turut mempersoalkan asas pendedahan minit mesyuarat berkenaan, khususnya sama ada dokumen itu telah dinyahklasifikasikan secara rasmi, pihak yang memberikan kebenaran serta asas undang-undang dan skop pendedahannya.
Katanya, pihak berkuasa perlu menjelaskan mengapa minit kes berkenaan dipilih untuk tatapan umum dan sama ada pendekatan serupa akan turut digunakan terhadap keputusan pengampunan lain.
Beliau berkata, penjelasan itu penting bagi memastikan prinsip ketelusan tidak dilihat sebagai sesuatu yang diamalkan secara terpilih mengikut kepentingan politik.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan peranan Lembaga Pengampunan serta kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
“Anggota Lembaga boleh mengemukakan pandangan dalam proses tersebut. Perbezaan pandangan itu tidak sepatutnya dijadikan bahan untuk menggambarkan seolah-olah keputusan Baginda ialah pertarungan politik dengan kerajaan,” katanya.
Ahmad Solehin turut membangkitkan isu konsistensi pendirian Dap berhubung ketelusan dengan merujuk kepada pengampunan penuh yang diterima Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018.
Katanya, sekiranya pendedahan minit mesyuarat dianggap penting demi ketelusan, prinsip sama sewajarnya terpakai kepada semua kes tanpa mengira latar belakang atau kedudukan politik individu terbabit.
“Ketelusan ialah prinsip yang mesti diamalkan secara konsisten, bukan tuntutan yang muncul hanya apabila ia dapat menyelamatkan kedudukan politik sendiri,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pengampunan terhadap Najib tidak boleh disamakan dengan pembebasan penuh daripada hukuman.
Menurutnya, Najib menjalani baki hukuman bagi kes SRC International melalui tahanan rumah, tertakluk kepada sekatan dan syarat yang ditetapkan, justeru perkara itu perlu dijelaskan dengan tepat kepada masyarakat.
Sehubungan itu, Ahmad Solehin menggesa Dap supaya menghentikan tindakan menggunakan perbezaan pandangan dalam proses Lembaga Pengampunan sebagai perisai politik.
“Sekiranya penjelasan kepada rakyat benar-benar menjadi tujuan, jelaskan proses pendedahan minit dengan sah dan telus, hormati keputusan yang telah diperkenankan, dan gunakan ukuran ketelusan yang sama terhadap semua pihak,” katanya lagi. – UMNO Online
