‘Siasat Zetrix, Jangan Ada Double Standard’
KUALA LUMPUR, 18 Nov – Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah menggesa kerajaan memberikan penjelasan menyeluruh berhubung isu pembayaran RM314 juta yang dikaitkan dengan Zetrix.
Ketua UMNO Bahagian Subang itu berkata, isu berkenaan bukan perkara kecil kerana melibatkan wang rakyat berjumlah ratusan juta ringgit yang menuntut penjelasan dan tindakan sewajarnya.
“Kalau benar berlaku kegagalan dalam pengurusan kutipan dan pembayaran sehingga perkara ini perlu diselesaikan melalui tawaran bayaran secara ansuran, maka rakyat berhak mendapat penjelasan yang telus dan menyeluruh.
“Saya ingin tegaskan beberapa perkara hentikan sementara semua kutipan berkaitan Zetrix sehingga kedudukan kewangan, kontrak dan tanggungjawab pihak-pihak terlibat dijelaskan secara terbuka.
“Laksanakan audit forensik bebas bagi mengenal pasti ke mana aliran wang tersebut, siapa yang menguruskan kutipan dan siapa yang perlu dipertanggungjawabkan.
“Tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Khas melalui Parlimen supaya isu ini dapat disiasat secara bebas, telus dan tanpa campur tangan orang besar. Dedahkan siapa pemilik sebenar, pihak berkepentingan dan individu yang mempunyai hubungan dengan operasi serta keputusan berkaitan Zetrix,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Armand dalam pada itu turut mempersoal dalang di sebalik Zetrix kerana kerajaan dilihat begitu berhati-hati untuk mengambil tindakan tegas.
Beliau malah turut membangkitkan persoalan sama ada terdapat individu berpengaruh yang menyebabkan kerajaan keberatan bertindak.
“Nama Farhash turut menjadi persoalan yang perlu dijawab secara terbuka sekiranya terdapat sebarang kaitan. Jangan biarkan rakyat hanya membuat andaian tanpa penjelasan rasmi.
“Kepada kerajaan Madani, jangan hanya berani bercakap tentang reformasi, integriti dan memerangi rasuah ketika berhadapan dengan pihak lawan. Jangan ada double standard!
“Jika benar wang rakyat terlibat, siasat sampai ke akar umbi. Jangan lindungi sesiapa. Jangan kompromi dengan mana-mana individu yang mempunyai pengaruh politik atau hubungan korporat.
“Rakyat mahu tahu ke mana wang mereka pergi. Rakyat mahu tahu siapa yang bertanggungjawab. Wang rakyat bukan wang sesiapa untuk dipermainkan!” ujar beliau. – UMNO Online
