BN Harap Kemelut Pentadbiran Negeri Sembilan Selesai Secara Baik – Zambry
PUTRAJAYA, 18 Nov – Barisan Nasional (BN) berharap kemelut pentadbiran di Negeri Sembilan termasuk isu membabitkan jawatan Menteri Besar dapat diselesaikan secara baik.
Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata semua pihak perlu memberi ruang tanpa merumitkan keadaan atau menimbulkan salah faham dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut bagi mengelakkan kenyataan disalah tafsir.
“Saya fikir kita tidak perlu lagi merumitkan (keadaan). Biarlah proses berjalan dengan sebaik-baiknya. Saya tidak mahu membuat kenyataan yang nanti disalah anggap lagi. Biar kita serahkan melalui proses yang telah dilakukan,” katanya.

Zambry berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai isu di Negeri Sembilan semasa ditemui di Festival Idea Putrajaya (FOI Putrajaya) 2026 di sini hari ini.
Pada 16 Nov, Zambry dilaporkan memaklumkan Datuk Ismail Lasim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh meletak jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Beliau berkata Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima salinan surat peletakan jawatan itu yang diutuskan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada hari yang sama.
Ismail mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2 Ogos.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, BN memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi, membolehkan dua gabungan itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.- BERNAMA
