Banjir: Beaufort Mohon PETRA Percepat Pelaksanaan Pelan IRBM
KUALA LUMPUR, 18 Nov – Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching memohon agar Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) untuk mempercepat pelaksanaan Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu atau Integrated River Basin Management (IRBM) dan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Padas.
Ketika sesi perbahasan di Parlimen, beliau menekankan bahawa keselamatan penduduk, penyelenggaraan sistem saliran dan jaminan bekalan air serta elektrik yang berterusan menjadi keutamaan di Parlimen Beaufort.

“Saya menyambut baik peruntukan keseluruhan sebanyak RM5.33 bilion kepada PETRA bagi tahun 2027. Namun, bagi Sabah khususnya kawasan Parlimen Beaufort, keutamaan pembangunan infrastruktur air dan tenaga bukan sekadar pembinaan projek baharu, tetapi juga melibatkan keselamatan penduduk, penyelenggaraan sistem saliran serta jaminan bekalan air dan elektrik yang berterusan.
“Pertama, isu tebatan banjir dan sistem saliran. Beaufort merupakan antara daerah di Sabah yang berhadapan dengan risiko banjir berulang, khususnya ketika hujan lebat dan peningkatan paras air Sungai Padas. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kediaman dan harta benda, malah mengganggu pergerakan penduduk, aktiviti ekonomi, persekolahan serta keselamatan masyarakat setempat.
“Berdasarkan Kajian Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu atau IRBM Sungai Padas yang pernah saya bangkitkan di Dewan ini, sebanyak 24 strategi dan 67 program tindakan telah dikenal pasti untuk tempoh 10 tahun, dengan anggaran kos keseluruhan RM2.1 bilion. Antara cadangan utama termasuk pembinaan tembok penahan banjir, ban sungai serta langkah pengurusan lembangan bagi mengurangkan risiko banjir,” katanya.
Di samping itu, beliau turut meminta perhatian kementerian terhadap tiga kawasan yang memerlukan tindakan kerana sering berlaku banjir berulang.
“Sehubungan itu, saya memohon PETRA mempercepatkan pelaksanaan pelan induk ini, termasuk perancangan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Padas. Saya juga ingin menarik perhatian kementerian kepada tiga kawasan yang memerlukan tindakan.
“Pertama, Sungai Padas, khususnya Kampung Melati, Kampung Melalugus dan Kampung Mempagar yang berhadapan dengan masalah banjir serta hakisan tebing sungai.
”Kedua, Sungai Bakalau yang memerlukan perlindungan tebing termasuk pemasangan gabion di lokasi kritikal. Seterusnya, Sungai Melabau hingga Sungai Klias Kecil melibatkan sistem saliran sepanjang 13.595 kilometer yang memerlukan kerja pembersihan, pendalaman dan penyelenggaraan berkala,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut berharap peruntukan tersebut akan turut merangkumi penyelenggaraan sistem saliran dan menyelesaikan masalah banjir.
“Saya berharap peruntukan di bawah Butiran 14500 dan 16700 bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembinaan projek baharu, tetapi turut merangkumi penyelenggaraan sistem saliran sedia ada dan penyelesaian masalah banjir di kawasan luar bandar,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
